Abdul Hadi tidak hadir pertemuan Presiden PN disebabkan perubahan jadual

LocalPolitics
30 Jan 2026 • 2:21 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Abdul Hadi

SHAH ALAM - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak hadir ke pertemuan antara ketua parti komponen Perikatan Nasional (PN) di kediaman Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada malam Khamis disebabkan perubahan saat akhir jadual beliau.

Memetik laporan Free Malaysia Today (FMT), Setiausaha Politiknya, Mohd Syahir Che Sulaiman memaklumkan, pandangan Ahli Parlimen Marang berkenaan telah disampaikan secara bersurat walaupun tidak hadir dalam pertemuan itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok memberitahu, parti berkenaan juga belum menerima sebarang makluman berkaitan hasil mesyuarat tersebut.

"Jadi kita tunggu panggilan mesyuarat Majlis Tertinggi PN untuk muktamadkan hal-hal berbangkit. Di pihak Pas, kita mahu segalanya teratur serta diurus mengikut perlembagaan dan peraturan yang sah.

"Penegasan tuan guru (Hadi) dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mahu PN diperkukuhkan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang sepatutnya berlangsung pada Khamis dibatalkan dan digantikan dengan mesyuarat pra-majlis di kediaman Muhyiddin.

Perkara tersebut disahkan oleh Tuan Ibrahim.

Difahamkan, pertemuan melibatkan ketua-ketua parti itu adalah mesyuarat awal bagi 'menentukan hala tuju' sebelum Majlis Tertinggi PN bersidang untuk mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN serta melantik penggantinya.