
PUTRAJAYA: Semua urus niaga dan sistem penyampaian Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) kini akan dilakukan secara digital, sekali gus mengurangkan interaksi secara bersemuka dalam mengatasi isu-isu integriti.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu selepas jabatan itu melancarkan Ekosistem Digital bagi memperkukuh agenda transformasi digital ke arah penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, bersepadu dan berorientasikan pengguna.
Menurutnya, agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu bertanggungjawab melaksanakan Akta Pertubuhan 1966 dengan hampir 200,000 pertubuhan, termasuk pertubuhan politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain.
“Jika berlaku ketidakpatuhan terhadap Akta Pertubuhan atau undang-undang tubuh sesuatu pertubuhan, maka jabatan ini akan menjalankan tindakan penguatkuasaan.
“Jadi, kebanggaan kami di KDN, khususnya bagi JPPM, semua urusan dokumentasi yang sebelum ini diproses secara manual beralih kepada era digital,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di sini hari ini.
Terdahulu, menerusi majlis itu, Saifuddin melancarkan Ekosistem Digital JPPM, selain menyerahkan Sijil Penghargaan Projek Reformasi Karenah Birokrasi (RKB) serta penyerahan Poster Aduan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC).
Ekosistem berkenaan menghimpunkan pelbagai sistem dan aplikasi digital yang dibangunkan bagi menyokong pengurusan dalaman serta meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.
Antara sistem yang telah dibangunkan ialah Sistem eReply, Portal Intranet, Sistem eROSES termasuk aplikasi mudah alih, Sistem Tempahan Bilik Mesyuarat, Portal Direktori Jabatan, Sistem Waran Perjalanan Udara Awam (WPUA), Sistem Tempahan Kenderaan, Sistem T empahan Cenderamata dan Sistem Cuti MySTEP.
Melalui ekosistem ini, urusan harian warga JPPM dapat dilaksanakan dengan lebih lancar, pantas dan sistematik, merangkumi pengurusan maklum balas pelanggan, pentadbiran pertubuhan, penyelarasan mesyuarat, pengurusan perjalanan rasmi, tempahan kemudahan jabatan serta pelaksanaan pelbagai tugasan di lapangan secara masa nyata tanpa batasan geografi. – UTUSAN
The post Semua urusan JPPM beralih sepenuhnya secara digital appeared first on Utusan Malaysia.






