Senarai ‘Cai’ Pasukan Nurul Izzah Bikin Kejutan, Kenapa Nama Ramanan Tiada? 

LocalPolitics
23 May 2025 • 12:58 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ketiadaan nama R Ramanan dalam senarai ‘cai’ Nurul Izzah Anwar mengejutkan banyak pihak - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Kurang beberapa jam lagi, hampir 30,000 perwakilan akan mengundi calon pilihan mereka pada Pemilihan KEADILAN 2025.

Dengan bahang yang kian terasa, satu senarai ‘cai’ didakwa pilihan pasukan Nurul Izzah Anwar sudah mula berlegar-legar dalam kalangan ahli.

Senarai itu nyata satu kejutan, lantaran nama besar yang bertanding jawatan Naib Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan ‘digugurkan’ dan diganti dengan Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran. 

Yuneswaran merupakan calon pilihan yang bertanding dalam ‘cai’ pasukan Datuk Seri Rafizi Ramli. 

Selain itu, nama-nama lain seperti Datuk Dr Sangkar Rasam yang mewakili Sabah dan Dr Maszlee Malik juga tidak ada dalam senarai Nurul Izzah.

Turut terkena tempias ialah bekas Adun Kuala Perlis, Azam Karap, Roslan Ismail dari Kelantan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Mohd Kamri Kamarudin. 

image is not available
Senarai ‘cai’ Nurul Izzah Anwar yang diperoleh Getaran

Getaran yang turut menerima senarai itu difahamkan, ia turut mengandungi nama beberapa penyokong tegar Rafizi. 

Menurut beberapa sumber tertinggi, ketiadaan nama yang dijangka diposisikan sebagai barisan utama untuk senarai ‘cai’ pasukan Nurul Izzah telah mencetuskan pelbagai persoalan dan spekulasi dalam kalangan akar umbi serta pemerhati politik parti.

“Terus terang, saya agak terkejut. Beberapa nama yang selama ini dilihat setia, berpengaruh, dan aktif di barisan hadapan parti tidak dimasukkan dalam senarai utama. Ia tidak seperti dijangka,” katanya kepada Getaran. 

Senarai ‘cai’ atau barisan sokongan rasmi calon utama sering kali menjadi petunjuk penting kepada hala tuju strategik sesebuah kem dalam pemilihan parti. 

Justeru, tidak menghairankan apabila spekulasi mula tercetus dalam kalangan ahli akar umbi susulan ketiadaan nama-nama tertentu.

image is not available
Rafizi Ramli - Gambar fail

Sementara itu, seorang lagi sumber mendakwa, Rafizi difahamkan sudah menyelesaikan ‘sengketa hiruk’ dengan menawarkan beberapa nama dari pasukan beliau. 

“Antara calon yang paling tidak digemari Rafizi adalah Ramanan dan ia ditunjukkan beliau secara terbuka. Mungkin itu juga antara ‘penyelesaian’ dimaksudkan sehingga nama Timbalan Menteri itu digugurkan dari senarai tersebut.

“Apapun, jangan terkejut ada perubahan dalam senarai-senarai ini kerana akhirnya Presiden akan memilih untuk ‘mendinginkan’ suhu panas dalam parti,” ujarnya. 

Namun begitu, beliau juga tidak menolak kemungkinan senarai berkenaan adalah sebahagian daripada strategi politik lebih besar, termasuk memberi ruang kepada barisan baharu walaupun belum diuji secara besar-besaran di pentas nasional.

“Mungkin Izzah ada perhitungan tersendiri. Tapi dalam politik, persepsi sangat penting. Orang akan tanya kenapa dia? Kenapa bukan si polan?

“Mungkin ini juga perang saraf saat-saat akhir? Apapun perwakilan yang akan buat keputusan,” ujarnya. 

Difahamkan, perkara ini turut dibangkitkan dalam perbualan dalaman pimpinan, namun tiada maklum balas rasmi setakat ini daripada pihak kem Nurul Izzah.

“Senarai sudah beredar luas. Maka spekulasi juga berkembang. Kita harap penjelasan akan menyusul kalau tidak pun secara rasmi. Sekurang-kurangnya menerusi tindakan dan pendekatan kempen yang meyakinkan,” katanya. - Getaran, 23 Mei 2025