
Siapa sangka, hobi memancing yang sudah sebati sejak kecil akhirnya membawa Mohamad Sharful ke bidang memerlukan ketelitian, kesabaran dan kemahiran iaitu menghasilkan gewang.
Hari ini, nama Epolcraft mula mendapat tempat dalam kalangan pemancing tempatan, malah hasil tangannya turut sampai ke beberapa negara luar.
Namun, perjalanan menghasilkan gewang tidak bermula dengan kemudahan teknologi moden atau panduan lengkap daripada internet.
Sebaliknya, ia bermula dengan rasa ingin tahu, percubaan dan keinginan untuk menghasilkan sesuatu yang mempunyai identiti sendiri.
Sharful yang berasal dari Selangor dan seterusnya menetap di Pulau Pinang selepas bekerja sudah mengenali dunia memancing sejak kecil.
“Dari kecil lagi saya sudah minat memancing. Dahulu, memancing di lombong, sungai dan laut sekitar Melaka,” katanya.
Sekitar awal tahun 2010, dia mula memberi perhatian lebih serius terhadap aktiviti mengilat, khususnya memburu ikan toman.
Namun, titik perubahan dalam perjalanannya hadir apabila dia mula memikirkan tentang kos membeli gewang apabila kerap terputus akibat struktur atau ikan yang kuat.
Harga gewang yang mahal membuatkan dia mencuba membuatnya sendiri. Percubaan itulah membawanya kepada penubuhan Epolcraft.
Lihat dan cuba
Sharful mengakui, dirinya tidak mempunyai latar belakang khusus dalam seni pembuatan gewang.
Namun, ilmu yang diterima tidak datang dalam bentuk pakej lengkap.
Apa yang dipelajari hanyalah asas luaran dan beberapa langkah penting. Selebihnya, perlu dicari, diuji dan difahami sendiri.

Ketika itu, YouTube dan sumber rujukan dalam talian juga bukan menjadi sandaran utama.
Sharful lebih banyak bergantung kepada pemerhatian dan rasa ingin mencuba.
Misalnya, hari ini menghasilkan satu corak, beberapa ketika kemudian mungkin muncul idea lain.
Apabila sudah bosan dengan sesuatu corak, dia kembali kepada reka bentuk terdahulu atau menghasilkan kombinasi baharu.
Pendekatan tersebut akhirnya menjadi sebahagian daripada identiti Epolcraft.
R&D
Antara perkara paling menarik dalam penghasilan gewang Epolcraft ialah proses research and development (R&D) yang dilakukan sendiri.
Daripada bentuk badan hinggalah kepada aksi, setiap perubahan diuji secara langsung.
Sharful akan membawa gewang ke air untuk melihat pergerakannya. Jika aksi tidak mencapai apa yang diinginkan, reka bentuk akan diubah.
Bagi dia, gewang yang kelihatan cantik belum tentu mempunyai aksi yang baik.
Sebab itu, proses menghasilkan sesuatu model gewang perlu melalui beberapa peringkat sebelum dianggap benar-benar sesuai digunakan.

Model awal gewang juga tidak kekal sama, bentuk badan, mata, bibir dan beberapa komponen lain mengalami perubahan dari masa ke masa.
Pendekatan itu menunjukkan bahawa pembuatan gewang buatan tangan bukan hanya berkaitan dengan kerja pertukangan.
Ia turut melibatkan pemahaman terhadap imbangan, berat, warna dan pergerakannya.
Pada peringkat awal, Sharful menggunakan kayu sebagai bahan utama. Kemudian muncul penggunaan getah, selepas itu timah turut dipakai dalam proses penghasilan komponen tertentu.
Ada komponen yang dibeli tetapi tidak memenuhi standard yang diinginkan.
Pengalaman itu penting kerana setiap komponen memberi kesan kepada hasil akhir.
Kualiti lebih utama
Bagi Sharful, kepuasan menghasilkan sesuatu dengan tangan sendiri mempunyai nilai tersendiri.
Walaupun gewang kelihatan sempurna apabila siap, namun kecacatan kecil tetap boleh menyebabkan ia ditolak.
Contohnya, apabila terdapat kesan kecil pada kemasan yang mungkin tidak disedari oleh orang lain. Baginya, gewang berkenaan tidak wajar dijual.
Walaupun gewang itu masih boleh digunakan di dalam air, namun standard peribadi tetap menjadi ukuran.
Pendekatan sebegini turut menjelaskan mengapa penghasilan Epolcraft tidak dilakukan secara besar-besaran.
Ketika ini, terdapat sekitar tujuh model terbaharu yang aktif dihasilkan, manakala jika dikira semua model lama, jumlahnya sudah melebihi 30.
Permintaan pula datang dari dalam dan luar negara, termasuk Brunei dan Singapura. Ada juga pesanan peribadi dari Amerika Syarikat, Taiwan dan beberapa negara lain.
Namun, kapasiti pengeluaran masih bergantung kepada masa dan kemampuan untuk memastikan kualiti tidak terjejas.
Bagi Sharful, satu daripada matlamat yang lebih besar adalah melihat hasil reka bentuk tempatan bergerak ke pasaran luar negara.
Dia melihat setiap model gewang yang dihasilkan sebagai portfolio.
Pengalaman menghasilkan gewang, penyertaan dalam acara memancing, pendedahan media dan pengiktirafan yang diterima menjadi sebahagian daripada perjalanan membina identiti Epolcraft.
Sharful juga mempunyai pandangan bahawa produk tempatan perlu mempunyai identiti sendiri.
Dalam menghasilkan reka bentuk, dia mengakui ada mengambil inspirasi daripada produk luar, tetapi bukan menyalin keseluruhan reka bentuk.
Sebaliknya, beberapa elemen daripada model berbeza diperhatikan, dikaji dan kemudian diterjemahkan semula dalam bentuk reka bentuk sendiri.
Pendekatan tersebut penting untuk memastikan produk yang dihasilkan mempunyai ciri tersendiri.
Baginya, matlamat akhir bukan semata-mata menghasilkan gewang untuk pasaran tempatan, tetapi melihat hasil kerja dari Malaysia dibawa ke luar negara.
Sokongan keluarga
Di sebalik kesibukan menghasilkan gewang secara manual, terdapat satu faktor yang banyak membantu perjalanan Epolcraft, iaitu sokongan keluarga.
Sharful mengakui, isterinya memainkan peranan besar dalam memberikan sokongan terhadap minat dan kerja yang dilakukannya.
Baginya, tanpa sokongan tersebut, perjalanan menghasilkan gewang mungkin jauh lebih sukar.
Kini, selepas melalui bertahun-tahun proses mencuba, menolak hasil yang tidak mencapai standard, mengubah reka bentuk dan menguji aksi di lapangan, Epolcraft sudah mempunyai kelompok peminatnya sendiri.
Lebih membanggakan, Epolcraft pernah mendapat dua sijil pengiktirafan Anugerah Malaysia Good Design pada tahun 2022 dan 2025.
Baginya, kepuasan sebenar hadir apabila sesuatu yang bermula daripada kosong, akhirnya menjadi gewang yang mampu berenang dengan aksi seperti dirancang.
Mungkin di situlah nilai sebenar Epolcraft, bukan pada berapa banyak gewang yang mampu dihasilkan.
Sebaliknya, pada usaha memastikan setiap unit yang keluar membawa bersama pengalaman, eksperimen dan identiti tersendiri pembuatnya.
The post Seni gewang buatan sendiri Epolcraft appeared first on Kosmo Online.
