
Menatap perkongsian visual mengenai Rumah Kayu 1928 by Doplohtiga Space yang tersergam indah di Kuang, Sungai Buloh, Selangor menerusi alam maya, membuatkan hati penulis jatuh suka.
Berpeluang menemu bual pengarah dan pemiliknya, Ahmad Zaidi Masri baru-baru ini, lelaki berusia 47 tahun itu berkongsi perjalanan awal premis tersebut bersama SinarPlus.
Katanya, konsep utama yang diketengahkan di Rumah Kayu 1928 ialah klasik dan rustic Melayu tradisional yang sangat menebal dengan nilai warisan.
Detik Ogos 2025 menjadi saksi premis eksklusif itu mula membuka tirai perkahwinan, membenarkan khalayak luar meraikan hari bahagia bersaksikan keanggunan seni bina silam yang kian pudar ditelan dek zaman.


Dedahnya lagi, tujuan asal penubuhan tempat berkenaan adalah untuk memelihara dan memulihara rumah-rumah kayu lama yang masih mempunyai nilai sejarah, warisan dan adat budaya supaya tidak hilang ditelan zaman.
Usaha itu ternyata membuahkan hasil apabila setiap sudut struktur kayu asal yang dibawa khas dari Negeri Sembilan ini berjaya mencuri perhatian ramai.
Melihat kepada dekorasi perkahwinan yang tular baru-baru ini, kehebatan sentuhan ZAKL Wedding begitu menyerlah dalam mengadunkan elemen kontemporari tanpa menenggelamkan keaslian premis.
"Rumah kayu yang klasik ini tidak sesekali membataskan kreativiti, malah menjadi kanvas terbaik untuk menterjemahkan idea yang sangat bersifat peribadi buat pasangan mempelai.
"Malah, ada juga pengantin yang membawa idea konsep peranakan Baba Nyonya, dan pihak kami mengolahkan semula konsep tersebut agar sesuai dengan suasana Rumah Kayu 1928 untuk membuktikan kebebasan berkarya," ujarnya lagi.


Pencetus trend baharu
Tegasnya lagi, pemilihan konsep sentiasa bersifat custom mengikut impian pengantin, dibantu dengan lakaran moodboard, manakala hiasan fizikal pula disiapkan seawal sehari sebelum majlis.
"Melalui pendekatan kreatif ini, Rumah Kayu 1928 sering kali menjadi penggerak trend baharu yang menjadi inspirasi dalam dunia seni dekorasi perkahwinan tanah air.
"Tidak keterlaluan jika dikatakan seni kreativiti di sini sering meletakkan kami sebagai pencetus aliran trend baharu," ujarnya dalam nada syukur.
Walau bagaimanapun, mengadakan majlis berkonsepkan alam terbuka pastinya tidak terlepas daripada ujian cuaca, namun fleksibiliti ruang yang disediakan memberikan kelegaan buat para pelanggan.

"Jika langit mulai mendung, kewujudan indoor glasshall dan anjung jati yang mampu memuatkan sehingga 500 tetamu sedia menjadi penyelamat majlis," jelasnya ketika soal tersebut diutarakan.
Sambil menikmati keindahan seni bina, para tetamu turut disajikan dengan hidangan berkonsepkan selera desa yang melengkapkan lagi nostalgia perkahwinan Melayu kampung yang serba harmoni.


Ahmad Zaidi turut mengulas mengenai trend perkahwinan masa kini yang sering dikaitkan dengan keinginan menonjolkan kemewahan di platform media sosial.
Baginya, keindahan sesebuah majlis itu tidak seharusnya diukur menerusi kemewahan material semata-mata, sebaliknya pada pengisian emosi yang tercipta.
