Sentiasa doakan! Fadhlina pesan calon SPM jangan terlalu menekan diri

LocalFamily & Parenting
23 Nov 2026 • 9:23 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek menitipkan pesanan kepada semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 supaya tidak terlalu memberikan tekanan kepada diri sendiri menjelang peperiksaan bertulis yang bermula esok.

Menerusi perkongsian di Facebook, Fadhlina memahami pelbagai perasaan yang mungkin sedang dialami calon selepas selesai menduduki ujian bertutur dan amali sebelum ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pelajar supaya mendapatkan rehat secukupnya, tidur lebih awal dan menghadapi peperiksaan dengan fikiran yang tenang.

“Saya nak pesan, jangan terlalu beri tekanan kepada diri sendiri ya. Malam ini tidur awal, rehat secukupnya dan masuklah ke dewan peperiksaan esok dengan hati yang tenang.
“Percayalah pada segala usaha yang telah anak-anak lakukan selama ini,” katanya pada Ahad.
Image from: Sentiasa doakan! Fadhlina pesan calon SPM jangan terlalu menekan diri

Foto arkib: Utusan

Dalam masa sama, Fadhlina turut mengingatkan ibu bapa dan guru supaya terus memberikan sokongan moral serta kata-kata semangat kepada calon yang bakal menduduki peperiksaan penting itu.

Menurut beliau, keyakinan dan dorongan daripada insan terdekat amat diperlukan bagi membantu pelajar menghadapi peperiksaan tanpa dibebani tekanan berlebihan.

“Buat ibu ayah dan guru-guru, teruslah beri semangat dan titipkan doa. Anak-anak kita perlukan keyakinan bahawa apa pun keputusannya nanti kita tetap bangga dengan usaha mereka,” ujarnya.

Mengakhiri perkongsian, Fadhlina turut mendoakan kejayaan semua calon SPM 2026 dan berharap mereka dapat memberikan yang terbaik berdasarkan persediaan serta usaha yang dilakukan selama ini.

“Selamat maju jaya, anak-anak! Buat yang terbaik. Saya sentiasa mendoakan kalian,” katanya lagi.

Menurut Kementerian Pendidikan (KPM), seramai 420,879 calon telah mendaftar bagi menduduki peperiksaan SPM 2026 yang diadakan di 3,334 pusat peperiksaan di seluruh negara, dengan sesi peperiksaan bertulis dijadualkan berlangsung bermula 23 November hingga 17 Disember.

Sumber: Facebook Fadhlina Sidek

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved