
Saudara Pengarang,
Hari ini merupakan hari penting buat ribuan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila mereka mula menduduki peperiksaan bertulis yang menjadi antara penentu perjalanan masa depan masing-masing.
Setelah berbulan-bulan membuat persediaan, mengulang kaji pelajaran dan menghadiri kelas tambahan, inilah masanya segala usaha tersebut diterjemahkan melalui jawapan di atas kertas peperiksaan.
Justeru, setiap calon perlu mengambil peluang ini dengan sebaik-baiknya dan tidak mensia-siakan pengorbanan ibu bapa serta guru.
Saya ingin mengingatkan calon SPM supaya menjawab setiap soalan dengan tenang, teliti dan bersungguh-sungguh. Jangan terlalu gopoh sehingga tersalah memahami kehendak soalan atau meninggalkan soalan yang sebenarnya mampu dijawab.
Baca arahan dengan teliti, susun masa dengan bijak dan pastikan setiap jawapan ditulis mengikut kemampuan sendiri. Jika berdepan soalan sukar, jangan mudah panik kerana masih banyak soalan lain yang boleh membantu memperoleh markah.
Dalam pada itu, jagalah kesihatan dan emosi sepanjang tempoh peperiksaan. Dapatkan rehat secukupnya, makan dengan teratur dan elakkan menghabiskan masa dengan perkara yang boleh mengganggu tumpuan.
Ibu bapa pula perlu memberikan sokongan moral, bukannya menambahkan tekanan dengan terlalu kerap bertanya mengenai sasaran keputusan. Ingatlah, setiap anak mempunyai kemampuan berbeza dan mereka memerlukan dorongan untuk memberikan prestasi terbaik.
Kepada semua calon SPM, ingatlah bahawa peperiksaan ini bukan sekadar menguji sejauh mana anda menghafal fakta, tetapi juga mengukur usaha, disiplin dan kesungguhan selama ini.
Cikgu Ayu
Shah Alam, Selangor
The post Jawab SPM baik-baik, ini masa depan kalian appeared first on Kosmo Online.






