
PETALING JAYA: Sentimen kebencian berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R) tidak seharusnya dinormalisasikan kerana boleh membuka ruang kepada pemikiran ekstrem sehingga boleh menggugat keamanan serta keselamatan negara.
Pensyarah Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Mohamad Tawfik Yaakub berkata, isu 3R perlu ditangani dengan penuh tanggungjawab kerana kesannya bukan sekadar mencetuskan perbezaan pandangan, malah boleh merebak sehingga menggugat keharmonian rakyat.
Menurut beliau, kenyataan yang memperlekehkan institusi, melabel sesuatu kelompok dengan istilah menghina atau menggambarkan pihak yang berbeza pandangan sebagai musuh agama dan kaum boleh mencetuskan salah faham, kemarahan serta prasangka dalam kalangan masyarakat.
Katanya, perkara itu lebih membimbangkan dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum dan agama kerana sentimen kebencian berpotensi menjejaskan hubungan antara kelompok.
“Sungguh kita bimbang apabila sesuatu kenyataan politik atau perbezaan pendapat ditafsir secara keterlaluan oleh kelompok tertentu.
“Jika sentimen kebencian, permusuhan dan ketaksuban terus dinormalisasikan, situasi ini boleh membuka ruang kepada pengaruh pemikiran ekstrem yang boleh mendorong kepada tindakan bertentangan dengan keamanan dan keselamatan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kebebasan bersuara perlu datang bersama tanggungjawab dengan kritikan, perbezaan pendapat dan perdebatan dilakukan berasaskan fakta, adab serta penghormatan terhadap Perlembagaan, Rukun Negara dan kepelbagaian masyarakat Malaysia.
Mohamad Tawfik berkata, rakyat juga perlu lebih berhati-hati dengan perbuatan melabel dan tidak menerima sebarang provokasi secara bulat-bulat, khususnya apabila ia menyentuh sensitiviti kaum dan agama.
Katanya, perbezaan politik, agama atau kaum tidak seharusnya menyebabkan rakyat melihat antara satu sama lain sebagai musuh kerana keadaan itu hanya akan memperbesar jurang dan menghakis kepercayaan antara masyarakat.
“Malaysia tidak memerlukan lebih banyak kemarahan. Kita memerlukan lebih banyak kefahaman, kesederhanaan dan kebijaksanaan.
“Menjaga keharmonian negara adalah tanggungjawab bersama. Jangan menjadi api yang membakar hubungan rakyat yang telah dibina sejak sekian lama,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. Sivamurugan Pandian berkata, ahli politik perlu memahami batas ketika menyentuh isu etnik, agama dan institusi diraja kerana satu kenyataan yang dibuat tanpa pertimbangan boleh menyalakan api emosi yang sukar dipadamkan.
Beliau berkata, kritikan terhadap dasar dan perdebatan berasaskan fakta boleh diteruskan, namun tidak seharusnya sehingga pihak yang berbeza pandangan dilabel sebagai musuh etnik, agama atau negara.
“Yang lebih penting, jangan ada dua darjat dalam menilai kenyataan politik. Jika kita menolak pelabelan dan penghinaan daripada satu pihak, prinsip yang sama mesti digunakan terhadap semua pihak.
“Jangan kerana mahu menang sorak, kampung tergadai. Jangan kerana mahu menambah penyokong, perpaduan rakyat menjadi taruhan,” katanya.
Menurutnya, politik sepatutnya menjadi ruang untuk mengurus perbezaan dan bukan membakar perbezaan sehingga mencetuskan permusuhan antara rakyat.
Katanya, kerajaan boleh bertukar dan pemimpin boleh berganti, namun keretakan hubungan antara rakyat mungkin mengambil masa yang panjang untuk dipulihkan.
“3R bukan senjata politik. 3R ialah amanah bersama. Biar berbeza ideologi, jangan bermusuh sesama warga dan biar tajam berhujah, jangan tajam menghiris perpaduan mahupun hubungan antara etnik,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi tulisannya itu antara lain mendakwa PH yang dikuasai DAP mengambil langkah terbuka bagi meneruskan agenda penjajah yang bertujuan menyingkirkan Islam dan Melayu.- UTUSAN
The post Sentimen kebencian 3R dalam berpolitik boleh gugat keselamatan negara appeared first on Utusan Malaysia.

