Sentuh Sensitiviti Umat Islam, FINAS Arah GSC Tukar Poster Filem Sijjin

27 Dec 2023 • 6:38 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Golden Screen Cinemas (GSC) diarahkan menarik balik dan tukar poster filem seram Indonesia, Sijjin susulan ia menyentuh sensitiviti umat Islam.

Menurut laporan Berita Harian, arahan tersebut telah dikeluarkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) apabila terdapat kalimah Allah pada kain hitam yang membaluti seorang wanita dipercayai dirasuk.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib memberitahu pihaknya telah berbincang dengan GSC untuk melakukan penukaran kepada poster yang baharu.

GSC tukar poster Sijjin

image is not available

image is not available

“FINAS ambil maklum tentang isu ini dan kami minta dan mengarah GSC untuk menarik balik serta menukar poster filem ini,” katanya.

Terdahulu, filem Sijjin terbitan Rapi Films bersama Sky Media dan Legacy Pictures mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan umat Islam selepas melihat kepada poster yang dikeluarkan seakan tidak menghormati agama dan dianggap keterlaluan.

Bukan itu sahaja, sewaktu tayangan awal Sijjin pada 22 Disember lalu, pihaknya turut mendapat kritikan padu dalam kalangan netizen apabila membawa jenazah yang lengkap dikafankan dan dikelilingi beberapa individu memakai telekung sebagai gimik untuk filem tersebut.

image is not available

Tindakan tersebut secara tidak langsung mengundang kebimbangan ramai yang boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan penonton bukan Islam.

Sekadar info, Sijjin diadaptasi daripada filem seram ‘box office’ dari Turkiye akan menemui penonton tempatan bermula 28 Disember ini.

image is not available

Sumber: Berita Harian (Affan Rostam)