Seorang didakwa, lima dikompaun sebar berita palsu krisis tenaga global

LocalPolitics
16 Apr 2026 • 6:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Seorang didakwa, lima dikompaun sebar berita palsu krisis tenaga global

CYBERJAYA - Seorang individu akan didakwa di mahkamah manakala lima lagi dikenakan kompaun keseluruhan RM125,000 kerana menyebarkan berita palsu berkaitan krisis tenaga global.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan, tindakan itu diambil selepas pihaknya menerima keputusan daripada Jabatan Peguam Negara berhubung kertas siasatan kes penyebaran maklumat palsu berkaitan kenaikan harga bahan api ekoran krisis di Asia Barat.

Menurut MCMC, Jabatan Peguam Negara memutuskan satu kes didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang, manakala lima kes lagi ditawarkan kompaun dan empat kes diberikan surat amaran.

"Susulan keputusan itu, MCMC telah mengeluarkan lima tawaran kompaun kepada individu terlibat dengan nilai RM25,000 setiap seorang.

"Kesemua tindakan ini adalah hasil siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588)," kata unit Komunikasi Korporat MCMC.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, MCMC mengingatkan orang ramai supaya menggunakan platform digital secara bertanggungjawab serta tidak menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam.