
Seorang Maut & 6 Cedera, Bas Ekspres Dinaiki Terbakar
Seorang penumpang maut, manakala enam yang lain cedera selepas bas pelancong yang dinaiki terbakar di Kilometer 198.0 Lebuh Raya Utara-Selatan, awal pagi tadi.
Memetik Sinar Harian, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 3.50 pagi di Alor Gajah.
Kejadian kebakaran berkenaan melibatkan sebuah bas ekspres yang sedang membawa seramai 30 orang penumpang warga Singapura.
Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Timbalan Penguasa Bomba II (KUP) Zahrul Azha, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 3.55 pagi.
Susulan itu seramai 21 pegawai dan anggota Bomba kemudian telah dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Sejurus tiba 11 minit kemudian, kita mendapati bas tersebut telah terbakar sepenuhnya dan dimaklumkan kenderaan itu melanggar sebuah motosikal yang terbabas sebelum kejadian.
“Dipercayai terdapat 30 mangsa dengan enam daripadanya cedera dan dihantar ke hospital menaiki jentera Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS), ambulans St John dan kenderaan orang awam,” katanya.
Tambah Zahrul Azha, pasukan bomba turut bertindak mencari dan mengesan mangsa yang lain di bahagian bawah bas serta sepanjang laluan lebuh raya sejauh 150 meter.
“Namun selepas membuat pemeriksaan, tiada mangsa lain ditemui dan pasukan bergerak pulang ke balai,” katanya lagi.
Sementara itu, kejadian tersebut turut disahkan oleh Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu, lapor Sinar Harian lagi.
Menurut Arshad Abu, seorang penumpang dilaporkan maut akibat terbakar.
Mayat mangsa kemudiannya telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk menjalani proses bedah siasat.
Bagaimanapun, sehingga kini, tiada maklumat lanjut yang diterima dari pegawai penyiasat berhubung kejadian bas terbakar tersebut.
Sumber: Sinar Harian
The post Seorang Maut & 6 Cedera, Bas Ekspres Dinaiki Terbakar appeared first on Siakap Keli.

