Sepanyol dan Greece pula mengumumkan pelan mengharamkan akses media sosial kepada individu bawah umur atas sebab keselamatan. Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sánchez berkata rang undang-undang mengharamkan individu bawah umur 16 tahun mengakses media sosial akan dibentangkan di parlimen seawal minggu depan.

Sementara itu di Greece pula, halangan akan dikenakan ke atas pengguna bawah 15 tahun dengan pengumuman akan dilakukan oleh kerajaan dalam masa terdekat. Dua negara ini menyertai India, UK dan Perancis yang sedang mempertimbangkan halangan sama.
Setakat ini hanya Australia benar-benar serius dalam menghalang penggunaan media sosial oleh individu bawah 16 tahun. Platform akan didenda A$49.5 juta (~RM 137 juta) jika didapati gagal menghalang penggunaan pengguna bawah umur.
Di Malaysia pendaftaran akaun baharu diharamkan untuk pengguna bawah 16 tahun sejak 1 Januari lalu dengan pelaksanaan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) dijangka mula dikuatkuasakan seawal Julai 2026.



