
MADRID: Sepanyol mengumumkan akan melaksanakan pemeriksaan sementara di sempadan terhadap pelancong dari Itali, sebagai tindak balas terhadap langkah serupa yang dikenakan Rom selepas kemasukan besar-besaran migran ke Ceuta.
Pemeriksaan itu bermula pada tengah malam Sabtu (waktu tempatan) dan berkuat kuasa sehingga 7 September, menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri Sepanyol. Langkah berkenaan dibuat susulan tekanan berterusan akibat migrasi tidak teratur yang dihadapi Itali.
Beberapa jam sebelum itu, Sepanyol mengancam untuk mengambil tindakan balas jika Itali tidak segera menarik balik pemeriksaan sempadannya, namun Rom menolak tuntutan berkenaan.
Pertikaian jarang berlaku antara dua negara anggota Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) itu tercetus selepas puluhan ribu orang menyeberang dari Maghribi ke wilayah Sepanyol di Afrika Utara, Ceuta pada 30 dan 31 Julai.
Kemasukan besar-besaran itu belum pernah berlaku sebelum ini hingga mengorbankan lebih 80 nyawa.
Kejadian itu membangkitkan kemarahan negara anggota EU yang menyokong pendekatan lebih tegas terhadap migrasi tidak teratur, termasuk Itali yang mengenakan penggantungan selama sebulan terhadap perjanjian perjalanan bebas visa Schengen dengan Sepanyol.
Kerajaan Sepanyol pada Jumaat menyifatkan tindakan itu sebagai tidak adil, bertentangan dengan kepentingan EU dan mendiskriminasi rakyat Sepanyol.
Menteri Luar Sepanyol, Jose Manuel Albares menyifatkannya sebagai ‘torpedo yang ditembak ke arah kapal perpaduan Eropah’.
Polis Sepanyol dilaporkan turut memantau khabar angin dalam talian dan media sosial mengenai kemungkinan kemasukan baharu migran ke Ceuta pada pertengahan Ogos. Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak secara jelas menyatakan mereka menjangkakan kemasukan besar-besaran seperti minggu lalu.-AFP
The post Sepanyol perketat kawalan sempadan dengan Itali akibat isu migran appeared first on Utusan Malaysia.


