Separuh air dirawat 'hilang' sebelum sampai pengguna - PAAB

11 Jun 2026 • 3:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Separuh air dirawat 'hilang' sebelum sampai pengguna - PAAB
Datuk Seri Ir Jaseni Maidinsa

GUA MUSANG – Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) mendedahkan bahawa lebih separuh air terawat di beberapa negeri berisiko hilang sebelum sampai kepada pengguna apabila kadar air tidak berhasil (NRW) masih berada pada tahap yang membimbangkan.

Pengerusi PAAB, Datuk Seri Ir Jaseni Maidinsa berkata, situasi itu mendorong pihaknya memberi tumpuan kepada usaha pemulihan sistem bekalan air menerusi penggantian paip lama, pembaharuan meter pengguna serta pembangunan infrastruktur air secara lebih strategik.

Menurut beliau, empat negeri yang menjadi fokus utama ketika ini ialah Perlis, Kelantan, Kedah dan Pahang berikutan kadar NRW masing-masing melebihi 40 peratus.

“Berdasarkan data Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Perlis merekodkan kadar NRW tertinggi iaitu 61.5 peratus, diikuti Kelantan (53.7 peratus), Kedah (51.1 peratus) dan Pahang (48.6 peratus).

“Bayangkan jika sesebuah negeri merawat 100 liter air, jumlah yang sampai kepada pengguna adalah kurang daripada separuh kerana sebahagian besar hilang dalam sistem.

“Oleh itu, masalah ini perlu ditangani dengan menggantikan paip lama yang bocor serta menukar meter air yang tidak lagi tepat,” katanya pada Majlis Perasmian Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Chupak di sini pada Khamis.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Yang turut hadir ialah Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr. Izani Husin; Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Ir Zulkiflee Omar; serta Pengurus Besar Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB), Azhar Hanafi.

Ir Jaseni berkata, PAAB turut menyediakan perancangan jangka panjang sehingga tahun 2050 bagi membantu negeri-negeri terbabit memperkukuhkan sistem bekalan air, termasuk meningkatkan rizab air terawat.

Menurutnya, bagi tempoh 2027 hingga 2031, PAAB telah memperuntukkan kira-kira RM1 bilion dalam pelan perniagaan bagi kerja penggantian paip lama di Kelantan sahaja.

Tambah beliau, Kelantan masih mempunyai 4,005 kilometer paip asbestos cement (AC) yang perlu diganti.

“Sasaran kami adalah untuk menggantikan sekitar 200 kilometer paip setiap tahun mengikut kemampuan dan keutamaan.

“Kerja ini tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa kerana melibatkan pengorekan jalan, gangguan lalu lintas serta bekalan air kepada pengguna,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, isu NRW bukan sahaja berpunca daripada kelemahan operator air, malah turut berkait rapat dengan kemampuan kewangan untuk melaksanakan kerja penyelenggaraan dan penaiktarafan sistem.

Jelasnya, operator air bukan tidak mampu menjalankan tugas, namun berdepan kekangan kewangan kerana tarif air masih belum mencapai tahap yang sepatutnya.

“Bagaimanapun, kenaikan tarif perlu dilaksanakan secara berperingkat dengan mengambil kira kemampuan pengguna,” katanya.

Beliau berkata, PAAB juga menyokong usaha mengekalkan rizab air terawat sekurang-kurangnya 15 peratus seperti yang ditetapkan oleh SPAN agar bekalan air negara lebih berdaya tahan ketika musim kemarau atau peningkatan permintaan semasa musim perayaan.