Sepasang kekasih antara empat ditahan bersama RM3.5 juta dadah

1 Oct 2026 • 11:43 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sepasang kekasih antara empat ditahan bersama RM3.5 juta dadah
Dennis (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dalam tiga serbuan berasingan.
Image from: Sepasang kekasih antara empat ditahan bersama RM3.5 juta dadah
Dennis (kanan) menunjukkan imej suspek dan rampasan dalam tiga sebuan yang dijalankan.

GEORGE TOWN - Empat individu termasuk sepasang kekasih ditahan bersama RM3.5 juta pelbagai jenis dadah dalam tiga operasi berasingan di sekitar negeri ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim berkata, serbuan pertama membabitkan seorang lelaki warga tempatan berusia 47 tahun di kawasan Jalan Masjid Negeri yang ditahan pada jam 3.30 petang, 21 September lalu.

Menurutnya, susulan penahanan itu, suspek telah membawa polis ke sebuah kenderaan yang diparkir dan disyaki menjadi tempat penyimpanan dadah serta peralatan memproses dadah.

"Dalam serbuan tersebut, kita berjaya merampas 8.83 kilogram (kg) dadah jenis heroin, serbuk kafein 5.35 kg dan peralatan memproses dadah jenis heroin yang dianggarkan bernilai RM443,518.

"Suspek direman selama 14 hari bermula 22 September hingga 5 Oktober ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya ketika sidang akhbar di Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini pada Khamis.

Dennis menambah, dalam serbuan kedua, sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang menahan dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing berusia lingkungan 27 hingga 42 tahun.

"Sehari selepas operasi pertama, kita membuat serbuan kedua iaitu di Jalan Tun Dr Awang, Sungai Nibong pada jam 8.50 malam dengan menahan sepasang kekasih iaitu lelaki tempatan dan wanita warga asing.

"Selain pasangan itu, polis menahan seorang lelaki lagi dalam serbuan sama. Dalam tangkapan itu, kita merampas serbuk MDMA seberat 3.26 kg dan lima liter cecair MDMA bernilai RM1.2 juta," katanya.

Tambah beliau, suspek direman selama 14 hari bermula 23 September hingga 6 Oktober ini.

Menurut Dennis, serbuan ketiga dijalankan di kawasan Machang Bubok, Bukit Mertajam pada jam 11.30 malam, 27 September lalu.

"Dalam serbuan ini, kita menahan seorang lelaki berusia 45 tahun di sekitar Jalan Seladang. Kita berjaya merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM1.8 juta iaitu 11.8 kg serbuk MDMA, 182 biji pil ekstasi dan erimin 5 dan 70 gram serbuk ketamin.

"Suspek direman tujuh hari sehingga 3 Oktober ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Dennis berkata lagi, kesemua suspek dipercayai aktif dalam kegiatan pengedaran dadah sejak Julai tahun ini dengan menyasarkan seluruh Pulau Pinang.

"Ujian saringan awal air kencing mendapati keempat-empat suspek negatif daripada sebarang dadah.

"Semakan rekod lampau pula mendapati seorang suspek mempunyai rekod berkaitan kes jenayah dan narkotik " ujarnya.

**media[3664193]**

Beliau menambah, susulan tangkapan bagi ketiga-tiga kes tersebut, polis turut menyita enam kenderaan pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM58,000.

"Kejayaan ini merupakan hasil risikan berterusan JSJN Pulau Pinang serta kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat kepada pihak polis," katanya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved