GEORGE TOWN – Tiga rumah banglo di Teluk Kumbar dan Bukit Belah, Bayan Lepas yang dijadikan ‘sarang’ operasi sindiket penipuan gores dan menang dalam talian tumpas ketika siri serbuan polis pada 22 September lalu.
Operasi itu berjaya membongkar kegiatan jahat didalangi warga China dan Kemboja sekali gus membawa kepada penahanan 29 suspek warga asing berumur 20 hingga 63 tahun.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim berkata, sindiket berkenaan menyasarkan mangsa di negara asal mereka iaitu China dan Kemboja dengan memanfaatkan platform media sosial seperti Facebook serta aplikasi LINE.
Menurutnya, modus operandi sindiket mengadakan siaran langsung bagi memikat mangsa membeli kad gores dan menang.
"Seterusnya, mangsa akan terpedaya selepas diumpan dengan pengumuman kemenangan hadiah bernilai tinggi.
"Bagi menuntut hadiah berkenaan, mangsa diarah membuat pembayaran wang pemprosesan, cukai serta insurans menerusi imbasan kod QR," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini pada Khamis.
Bagaimanapun tambahnya, hadiah yang dijanjikan tidak pernah diserahkan manakala wang bayaran pula lesap.
Mengulas mengenai tangkapan, Dennis berkata, serbuan pertama di sebuah banglo di Teluk Kumbar berjaya menahan 14 lelaki warga China.
"Serbuan berasingan di dua banglo berhampiran kemudiannya memberkas tujuh lagi individu terdiri daripada tiga lelaki China, seorang lelaki Kemboja serta tiga wanita Kemboja.
"Sementara itu, operasi susulan di premis keempat di kawasan Bukit Belah, daerah Barat Daya membawa kepada penahanan lapan lagi suspek iaitu dua lelaki China dan enam wanita Kemboja," ujarnya.
Beliau menambah, siasatan awal polis mendapati rangkaian penipuan itu sudah bertapak antara dua hingga tiga bulan lalu.
Beliau berkata, demi mengaburi mata pihak berkuasa, sindiket tersebut sanggup membelanjakan RM10,000 sebulan bagi menyewa premis mewah dan mengubah suai bahagian dalamannya menjadi pusat operasi sepadu.
"Ahli sindiket yang bertindak sebagai operator dibayar gaji lumayan mencecah RM8,000 sebulan. Mereka bukan sahaja bekerja malah menjadikan banglo berserta kelengkapan itu sebagai tempat tinggal harian.
"Semakan turut mendapati kod QR pembayaran didaftarkan di Kemboja. Pihak polis kini giat menjejaki laluan aliran kewangan serta dalang utama yang menggerakkan sindiket ini," jelasnya.
Jelasnya lagi, hasil serbuan berkenaan, pihak polis merampas pelbagai peralatan komunikasi dan studio digital.
"Antara yang disita termasuk lebih 200 unit telefon bimbit, 17 komputer riba, dua komputer, enam set modem atau penghala (router), kad gores dan menang, lesen serta dokumen pengesahan disyaki palsu selain rekod senarai pelanggan," tambahnya.
Beliau menambah, pemeriksaan lanjut mendapati sebahagian suspek ditangkap tidak mempunyai dokumen perjalanan pasport yang sah.
"Kesemua suspek kini direman sehingga 13 Oktober depan bagi membantu siasatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dibaca bersama Seksyen 120B Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu dan pakatan jahat selain Seksyen 6(1) serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan masuk tanpa pas sah dan tinggal lebih masa," katanya.






