
KUCHING – Suasana pagi yang sepatutnya rutin bertukar menjadi tragedi memilukan apabila tiga beradik yang sedang bersiap untuk ke sekolah menemui kedua-dua ibu bapa mereka telah meninggal dunia di dalam bilik tidur di sebuah rumah di kawasan taman perumahan di Sri Aman, pada Rabu.
Mangsa dikenal pasti sebagai Cikgu Andy Roy Anak Junran, seorang pendidik yang baru sahaja dilantik sebagai Guru Besar minggu lalu, manakala isterinya, Angelin, bertugas sebagai jururawat di Hospital Sri Aman.
Menurut maklumat yang tular di media sosial, anak-anak mangsa mula berasa pelik apabila ibu bapa mereka tidak keluar dari bilik seperti kebiasaan sebelum bertindak memeriksa keadaan, sebelum menemukan kedua-duanya tidak bernyawa.
Paling menyayat hati, tiga orang anak kecil pasangan itu kini menjadi anak yatim piatu dalam sekelip mata.
Disyaki Unsur Jenayah, Polis Tunggu Kenyataan Rasmi
Penemuan mayat tersebut mencetuskan pelbagai spekulasi apabila kejadian itu dikaitkan dengan kemungkinan unsur jenayah, namun setakat ini belum ada pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, Superintenden Dennis Bunyam ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat pasangan berkenaan, namun memaklumkan bahawa kenyataan rasmi akan dikeluarkan oleh pihak atasan.
“Untuk makluman, Datuk Pesuruhjaya Polis Sarawak akan memberi kenyataan akhbar berkaitan kes bunuh di Sri Aman pada 14 Januari 2026,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak menerusi satu hantaran di Facebook menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang, yang bertugas sebagai Guru Besar di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lubok Antu.
“Jabatan ini kehilangan seorang pemimpin sekolah yang berdedikasi dalam melaksanakan tugasan dan amanah dalam meningkatkan serta memartabatkan pendidikan negara.
“Semoga mendiang bersemadi dengan aman dan keluarga yang ditinggalkan diberi kekuatan serta ketabahan. Semoga dipermudahkan semua urusan,” menurut hantaran tersebut.
Orang ramai berharap agar pihak polis dapat menjalankan siasatan menyeluruh dan menahan individu yang bertanggungjawab sekiranya kejadian ini melibatkan perbuatan jenayah. – The Malaysian Update
The post Sepasang Suami Isteri Ditemui Meninggal Dunia, Tiga Anak Jadi Yatim Piatu Sekelip Mata appeared first on The Malaysian Update.


