Serah pada PM pilih menteri terajui KPDN - Fuziah

LocalPolitics
27 Jul 2023 • 4:12 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Fuziah (tengah) menyampaikan sumbangan kepada wakil penerima Inisiatif Rintis Bantuan Bantuan Tanpa Tunai pada Program Outreach Sara Hidup dan Advokasi dan Kepenggunaan Peringkat Negeri Kelantan, di sini pada Rabu.

KOTA BHARU - Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melantik peneraju kementerian berkenaan.

Beliau yakin Perdana Menteri akan memilih individu yang boleh meneruskan legasi Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Fuziah juga yakin pengganti Allahyarham dapat melaksanakan tugas dengan baik.

"Perdana Menteri akan menentukan siapa yang menggantikan tempat Allahyarham namun saya selaku timbalan memberi komitmen tinggi untuk meneruskan usaha Allahyarham Salahuddin," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Outreach Sara Hidup dan Advokasi dan Kepenggunaan Peringkat Negeri Kelantan, di sini pada Rabu.

Pada majlis sama beliau menyampaikan baucar Inisiatif Rintis Bantuan Bantuan Tanpa Tunai kepada 240 pelajar Tingkatan Enam dan kolej vokasional dyang terpilih di seluruh Kelantan.

Fuziah turut memberitahu tetap meneruskan inisiatif Payung Rahmah yang diperkenalkan Allahyarham sepanjang berkhidmat kepada rakyat.

Sebelum ini, ada pihak menyenaraikan beberapa nama daripada Ahli Parlimen Amanah sebagai pengganti menteri itu.

Mereka ialah Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari; Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, Datuk Seri D Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Mohamad Aminolhuda Hassan (Sri Gading) dan Mohd Sani Hamzan (Hulu Langat).

Menteri KPDN, Salahuddin, 61, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada 9.23 malam Ahad.

Allahyarham sebelum itu ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

ARTIKEL BERKAITAN: