Seram, Kabel Permainan Lastik Putus Di Udara Ketika Dinaiki Dua Kanak-Kanak

28 Apr 2026 • 1:14 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Seram, Kabel Permainan Lastik Putus Di Udara Ketika Dinaiki Dua Kanak-Kanak

Seram, Kabel Permainan Lastik Putus Di Udara Ketika Dinaiki Dua Kanak-Kanak

Malang tidak berbau, pengunjung di sebuah pesta di Seville, Sepanyol dikejutkan dengan kejadian cemas yang menyaksikan kabel pada sebuah permainan jenis lastik (slingshot) terputus pada Jumaat lalu.

Memetik laporan The Sun, ia menyebabkan dua kanak-kanak tergantung kira-kira 300 kaki di udara.

Kapsul permainan itu dapat dilihat menghentam tiang sokongan ketika orang ramai di sekitar menjerit ketakutan dalam rakaman video ngeri yang dirakam oleh seorang individu.

Dua kanak-kanak tersebut dilaporkan menaiki permainan Steel Max di pesta tahunan terkenal di situ pada petang Jumaat.

Permainan itu terletak di kawasan tarikan yang dikenali sebagai Calle del Infierno, yang diterjemahkan sebagai 'Jalan Neraka'.

Mereka dipasang tali keselamatan sebelum 'dilancarkan' ke udara dengan kedudukan reverse bungee.

Image from: Seram, Kabel Permainan Lastik Putus Di Udara Ketika Dinaiki Dua Kanak-Kanak

Pada awalnya, semuanya berjalan lancar ketika mereka dilontar ke udara pada kelajuan sekitar 100 batu sejam.

Mereka kemudian melantun semula ke bawah sebelum ditarik naik sekali lagi oleh kabel logam pada kapsul, namun ketika itulah kejadian tidak dijangka berlaku.

Secara tiba-tiba, salah satu kabel terputus dan kapsul tersebut hilang kawalan sebelum menghentam struktur sokongan.

Image from: Seram, Kabel Permainan Lastik Putus Di Udara Ketika Dinaiki Dua Kanak-Kanak

Kerosakan tersebut menyebabkan dua kanak-kanak yang berada di dalam kapsul mengalami kecederaan.

Sementara itu, dua individu lain turut dilaporkan cedera apabila serpihan daripada permainan yang rosak itu jatuh ke tanah.

Seorang jurucakap pasukan kecemasan Sepanyol berkata anggota bomba telah menutup kawasan sekitar tarikan Steel Max selepas kemalangan yang berlaku semasa ia beroperasi pada jam 8.20 malam.

“Empat individu mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di lokasi, manakala dua mangsa di dalam permainan telah dibawa ke pusat perubatan.

“Polis tempatan segera menjalankan pemeriksaan dokumen dan Polis Kebangsaan kini mengambil alih siasatan," katanya.

Baca juga:

Permainan ekstrem itu melontarkan kapsul dua penumpang melebihi 300 kaki ke udara pada kelajuan sehingga 100 batu sejam menggunakan sistem kabel elastik.

Penumpang akan mengalami pecutan kuat, terasa seperti terapung seketika sebelum dilontar naik dengan laju dan melantun semula.

Untuk pengetahuan, festival itu bermula pada tahun 1847 sebagai pesta pertanian dan ternakan. Sejak itu, ia menarik perhatian ramai terutama untuk bersantai bersama keluarga masing-masing.