Seramai 13,550 pelajar dapat manfaat Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah

LocalPolitics
21 Mar 2025 • 5:56 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Sabah Publishing House Sdn Bhd

Kuala Lumpur: Seramai 13,550 pelajar Sabah menerima manfaat daripada tajaan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) sejak 2021 hingga 2024, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, atas komitmen terhadap bantuan pendidikan kepada anak-anak Sabah,

Kerajaan Negeri terus menambah dana untuk BKNS sehingga mencatat jumlah tertinggi iaitu RM128 juta pada tahun ini – peningkatan sebanyak 150 peratus berbanding 2020.

“Sejak mengambil alih pentadbiran kerajaan pada Oktober 2020, peruntukan untuk dana BKNS terus ditambah daripada RM50 juta pada 2020, meningkat kepada RM55 juta pada 2021, seterusnya RM101 juta pada 2023 dan RM113 juta pada 2024,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Mahasiswa-Mahasiswi Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Bersama Ketua Menteri di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Khamis.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, yang juga Exco Pendidikan dan Agama.

Hajiji berkata, Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang dilancarnya pada 2022 telah memberi manfaat kepada seramai 7,483 orang pelajar daripada golongan B40 yang tidak mendapat tajaan daripada mana-mana penaja, melibatkan peruntukan sebanyak RM8.6 juta.

Menurutnya, bagi memperkasa lagi bantuan pendidikan, pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan akan diteruskan pada tahun ini, selain ditambah baik untuk membantu pelajar secara keseluruhannya.

Antaranya ialah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (Budi) sebanyak RM2,000 kepada pelajar peringkat Ijazah dan RM1,500 kepada pelajar di peringkat Diploma atau Matrikulasi.

“Terdapat juga Bantuan Khas Peperiksaan (Bakti) iaitu RM200 kepada pelajar yang menduduki peperiksaan SPM, STPM dan STAM.

“Selain itu, Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (Sentosa) dan subsidi Bantuan Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (Subfly) kepada semua pelajar IPT awam dan swasta yang menuntut di Semenanjung, Sarawak dan Labuan,” katanya.

Hajiji, yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah (YS) berkata, Kumpulan YS secara berterusan menawarkan pelbagai jenis tajaan membantu pelajar Sabah seperti Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah, Biasiswa Cemerlang Pelajar Luar Bandar, Biasiswa IPTA, Biasiswa IPTS, Dermasiswa dan Pinjaman Pengajian Tinggi.

“Komitmen Kumpulan YS terhadap pembangunan pendidikan di Sabah dapat dilihat apabila dana untuk pendidikan meningkat sebanyak 86.38 peratus kepada RM67.17 juta pada 2024 berbanding RM36.04 juta pada 2021. Ini membolehkan seramai 3,234 orang pelajar mendapat manfaat tajaan pendidikan Kumpulan YS pada tahun 2024,” tegasnya.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri menerusi Kumpulan YS juga menyediakan prasarana pendidikan melalui Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF), yang memberi manfaat peluang pengajian pendidikan kepada ribuan anak Sabah sejak ditubuhkan.

Menurutnya, usaha sama antara badan-badan penaja di negeri ini juga dipergiatkan melalui Portal Pendidikan Negeri Sabah (PTPS) yang dilancarnya tahun lalu, bagi memudahkan anak-anak Sabah memohon tajaan pendidikan, yang turut melibatkan badan penaja lain seperti Majlis Ugama Islam Sabah (Muis), Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) dan Yayasan Kebajikan Sabah (YKS).

Katanya, dalam aspek modal insan di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), antara inisiatif yang diperkenalkan kerajaan ialah Felo SMJ dan Dewan Belia Sabah yang bermatlamat memperkasakan bakat dan keupayaan anak muda Sabah, di samping mengetengahkan kepimpinan baharu di negeri ini.

“Kerajaan Negeri juga menyediakan pelbagai platform untuk pelajar menyuarakan pandangan, antaranya Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS) yang sehingga kini berjaya mengumpulkan pemimpin pelajar Sabah dari seluruh IPT Awam dan Swasta, Institut Pendidikan Guru (IPG), Institut Latihan termasuk tingkatan enam.

“Kerajaan juga menubuhkan Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (Semesta) sebagai pengiktirafan kepada anak-anak muda,” tegasnya.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif yang diperkenalkan dan dilaksanakan itu menunjukkan betapa Kerajaan Negeri prihatin dan peka terhadap keperluan anak-anak Sabah demi memastikan mereka sentiasa terbela.

“Kepada anak-anak semua, sampaikan salam takzim saya kepada ibu bapa kalian. Insya-Allah kebajikan pelajar Sabah akan sentiasa diberikan keutamaan oleh kepimpinan negeri, dalam kita melangkah maju ke hadapan mencapai aspirasi Sabah Maju Jaya,” katanya, yang turut mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua mahasiswa-mahasiswi Sabah.