Serang polis trafik: Seorang lelaki ditahan bantu siasatan

7 Feb 2024 • 9:49 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan Sinar Harian pada Rabu.

TEMERLOH - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki berusia 42 tahun ditahan pada Rabu selepas disyaki menggunakan kekerasan terhadap seorang anggota polis trafik berpangkat sarjan pada Selasa.

Insiden itu berlaku apabila seorang penunggang motosikal berusia 20 tahun maut dalam kemalangan dengan sebuah kereta di KM127 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan di sini.

Dalam kejadian tersebut, Penolong Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh berusia 37 tahun didatangi sekumpulan lelaki yang mengeluarkan kata-kata kesat dan menerkam serta menolak anggota tersebut di tempat kejadian.

Suspek tidak berpuas hati dengan anggota yang hadir di lokasi kejadian tetapi tidak memberi bantuan kepada mangsa sedangkan anggota terbabit telah memanggil ambulans.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan memberitahu, hasil semakan mendapati suspek tersebut memiliki tiga rekod lampau berkaitan jenayah.

"Siasatan lanjut akan dijalankan untuk mengenal pasti suspek lain yang terlibat," katanya.

Sementara itu, terdapat rakaman video menunjukkan seorang lelaki menolak anggota polis yang beruniform dan anggota tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.