Serangan di Riyadh: Penerbangan dari KLIA ke Jeddah, Madinah dibatalkan

12 Oct 2026 • 12:27 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Serangan di Riyadh: Penerbangan dari KLIA ke Jeddah, Madinah dibatalkan

PETALING JAYA – Dua penerbangan Malaysia Airlines (MAS) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Jeddah dan Madinah, Arab Saudi dilihat dibatalkan hari ini, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penumpang termasuk jemaah umrah susulan kejadian serangan di Riyadh.

Berdasarkan paparan papan maklumat penerbangan di Terminal KLIA pagi ini, penerbangan MH0156 ke Jeddah pada pukul 3.05 petang dan MH0158 ke Madinah pada pukul 5.10 petang masing-masing tertera status ‘dibatalkan’.

Semakan pada platform penjejakan penerbangan menunjukkan MH158 ke Madinah berdepan gangguan jadual, manakala rekod MH156 hari ini tidak menunjukkan pergerakan pesawat setakat semakan dibuat.

Perkembangan itu mendapat perhatian pengguna media sosial selepas seorang pengguna Threads memuat naik gambar paparan berkenaan sambil mendoakan agar urusan jemaah umrah dipermudahkan.

“Penerbangan MH ke Jeddah hari ini batal. Semoga dipermudah urusan jemaah umrah,” katanya.

Seorang pengguna lain mendakwa penerbangannya ke Jeddah pada hari berikutnya turut dibatalkan.

“Ujian buat kami. Kami ikutkan penerbangan esok ke Jeddah, tapi dibatalkan. Doa semoga urusan kami dipermudahkan,” katanya.

Selain itu, terdapat pengguna yang meluahkan kebimbangan mengenai penerbangan syarikat lain ke Arab Saudi termasuk Saudia dan Gulf Air susulan perkembangan keselamatan semasa di rantau berkenaan.

Situasi sama turut dikongsikan pengguna media sosial yang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah apabila mendakwa operasi penerbangan digantung sementara.

“Situasi di bandar Jeddah, penerbangan ditutup dan belum tahu bila akan dibuka kembali. Sedih, semoga segera ada khabar baik,” katanya.

Pengguna tersebut turut berkongsi tangkap layar menunjukkan penerbangan Qatar Airways dari Jeddah ke Doha yang dijadualkan berlepas pada pukul 11.35 malam tadi turut dibatalkan.

Situasi penerbangan di negara itu berdepan gangguan susulan ketegangan meningkat selepas kumpulan Houthi dari Yemen melancarkan beberapa serangan terhadap lapangan terbang dan kemudahan strategik Arab Saudi sejak minggu lalu.

Serangan terbaharu di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid, Riyadh kelmarin mengorbankan sekurang-kurangnya 13 individu, manakala lebih 300 yang lain cedera, sebelum satu lagi serangan dilaporkan berlaku di terminal lapangan terbang sama sehari kemudian.

Houthi turut memberi amaran mengenai serangan susulan terhadap lapangan terbang Arab Saudi, manakala beberapa syarikat penerbangan antarabangsa sebelum ini menggantung atau mengubah operasi mereka susulan kebimbangan keselamatan.

Untuk rekod, Malaysia Airlines sebelum ini pernah menggantung sementara penerbangan ke Jeddah dan Madinah pada Mac lalu berikutan penutupan ruang udara di beberapa bahagian Asia Barat ketika ketegangan keselamatan meningkat. – KOSMO! ONLINE

The post Serangan di Riyadh: Penerbangan dari KLIA ke Jeddah, Madinah dibatalkan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved