Serangan Israel: 11 kanak-kanak Gaza terbunuh dalam tempoh 48 jam

26 May 2025 • 8:30 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

DOHA, 26 MEI: Sekurang-kurangnya 11 kanak-kanak berusia antara tujuh bulan hingga 12 tahun dilaporkan terbunuh dalam serangan udara Israel di Semenanjung Gaza dalam tempoh 48 jam lalu, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Sembilan daripada mereka yang terbunuh merupakan anak kepada pakar pediatrik Palestin, Dr Alaa Amir Al-Najjar.

Media Arab melaporkan pada Ahad bahawa Dr Al-Najjar sedang bertugas di Hospital Nasser di bandar Khan Yunis apabila beliau menerima berita bahawa sembilan daripada sepuluh anaknya terbunuh dalam serangan udara Israel.

Suaminya dan seorang lagi anak yang terselamat kini dalam keadaan kritikal dan dirawat di unit rawatan rapi, menurut laporan Al Jazeera.

Sementara itu, Yaqeen Hammad, 11 tahun — seorang pempengaruh media sosial yang dikenali ramai — turut terbunuh dalam serangan di bandar Deir al-Balah, menurut laporan sama.

Kanak-kanak perempuan itu mempunyai ribuan pengikut di media sosial dan aktif menyertai misi kemanusiaan bagi membantu penduduk Palestin yang dipindahkan di seluruh Gaza.

Selain itu, seorang lagi kanak-kanak berusia empat tahun dilaporkan meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan, susulan sekatan terhadap kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, hampir 54,000 orang terbunuh sejak 7 Okt 2023, termasuk sekurang-kurangnya 16,500 kanak-kanak, manakala lebih 122,700 lagi cedera.

– BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved