Serangan Israel terhadap Syria tindakan melampau

WorldPolitics
22 Aug 2026 • 1:52 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Serangan Israel terhadap Syria tindakan melampau

PETALING JAYA: Serangan udara Israel terhadap pangkalan udara tentera Abu al-Duhur di barat laut Syria merupakan satu tindakan melampau dan pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan negara itu.

Malaysia bersama 11 negara lain turut menyatakan kebimbangan terhadap tindakan berterusan Israel terhadap Syria yang disifatkan berisiko menjejaskan usaha negara itu memulihkan keselamatan, membina semula institusi negara serta menangani kesan kemanusiaan akibat konflik berpanjangan.

Dalam kenyataan bersama, Menteri Luar Malaysia, Turkiye, Algeria, Indonesia, Jordan, Lubnan, Mauritania, Pakistan, Palestin, Qatar, Arab Saudi dan Somalia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara Israel yang menyasarkan pangkalan udara berkenaan.

“Serangan ini merupakan peningkatan melampau dan pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan, integriti wilayah dan perpaduan politik Syria,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan ketika ketegangan serantau semakin memuncak, dengan 12 negara berkenaan memberi amaran bahawa tindakan ketenteraan berterusan terhadap wilayah Syria boleh mengancam keamanan dan kestabilan rantau itu.

Dalam pada itu, mereka menegaskan semua pihak, termasuk Israel, wajib menghormati undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mengelakkan peningkatan ketegangan serta menjamin keamanan dan kestabilan serantau.

Sehubungan itu, mereka menggesa masyarakat antarabangsa mengambil pendirian tegas, jelas dan berprinsip terhadap apa yang disifatkan sebagai tindakan agresif berterusan terhadap Syria.

“Mereka menggesa masyarakat antarabangsa mengambil langkah konkrit, selaras dengan undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB bagi menghentikan pelanggaran berkenaan,” katanya.

Selain itu, mereka menggesa penghormatan penuh terhadap Perjanjian Pemisahan 1974 serta pengunduran tentera Israel dari kawasan yang didudukinya, yang disifatkan penting bagi mengelakkan peningkatan ketegangan dan melindungi keamanan serta kestabilan serantau.

Perjanjian Pemisahan Angkatan 1974 antara Syria dan Israel menetapkan zon penampan serta pemisahan pasukan selepas perang Arab-Israel 1973, dengan Pasukan Pemerhati Pelepasan PBB (UNDOF) ditugaskan memantau pelaksanaannya.-UTUSAN

The post Serangan Israel terhadap Syria tindakan melampau appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved