
KUALA LUMPUR – Malaysia dijangka berdepan lebih banyak serangan siber yang digerakkan ejen kecerdasan buatan (AI) pada 2027, yang mana teknologi itu sudah pun digunakan penjenayah siber dalam beberapa serangan melibatkan organisasi besar di negara ini.
Pengarah Urusan LGMS Berhad, Fong Choong Fook berkata, pihaknya telah mengesan serangan yang menunjukkan corak penggunaan AI untuk mempercepatkan proses serangan termasuk tinjauan sistem, mengenal pasti kelemahan dan memasang akses belakang.
Katanya, analisis terhadap log dan corak serangan yang membabitkan dua organisasi besar, termasuk sebuah syarikat tersenarai awam itu menunjukkan serangan berkenaan tidak lagi dilakukan sepenuhnya oleh manusia.
“Saya menjangkakan dalam beberapa bulan akan datang dan memasuki 2027, kita akan melihat lebih banyak serangan dilakukan oleh ejen AI,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran LGMS AI Cybersecurity Summit 2026 di sini, semalam yang disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang.
Acara tersebut menyaksikan pelancaran lima penyelesaian keselamatan siber berasaskan AI yang dibangunkan sepenuhnya di Malaysia oleh LGMS untuk membantu organisasi mencegah, mengesan dan bertindak balas terhadap ancaman siber dengan lebih pantas.
Lima penyelesaian itu adalah AI & LLM Application Security Assessment, NOVA bagi semakan kod sumber secara selamat, SPECTA untuk memantau pendedahan kelayakan pengguna, AI-driven Attack Surface Management serta Next-generation Deception Platform bagi mengesan aktiviti pencerobohan.
Choong Fook berkata, kesemua penyelesaian berkenaan sudah tersedia secara komersial.
Tambah beliau, pelancaran itu turut menandakan anjakan penting dalam model perniagaan LGMS apabila syarikat beralih daripada perkhidmatan keselamatan siber secara berkala kepada model langganan yang menawarkan perlindungan 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.
“Hari ini, serangan berlaku secara berterusan bagi model langganan akan menjadi fokus utama kami.
Pelanggan boleh melanggan penyelesaian untuk mendapatkan perlindungan 24 jam termasuk mengesan kelemahan, mengenal pasti potensi ancaman dan bertindak balas terhadap aktiviti mencurigakan.
“Penyelesaian ini bukan hanya disasarkan kepada sektor tertentu atau syarikat besar, sebaliknya boleh digunakan pelbagai industri termasuk perusahaan kecil dan sederhana,” katanya. -KOSMO! ONLINE
The post Serangan siber AI bakal memuncak tahun depan appeared first on Kosmo Online.




