
INSIDEN pencerobohan siber yang melumpuhkan sistem penyejukan komersial di ratusan pasar raya merentasi pelbagai negara baru-baru ini membuka lembaran baharu dalam doktrin keselamatan moden, terutamanya berkaitan keterjaminan makanan.
Serangan siber yang menyasarkan pengawal selia suhu industri dan menukar mod penyejukbekuan kepada nyahbeku ini bukan sekadar insiden teknikal, sebaliknya manifestasi ancaman yang mensabotaj rantaian bekalan makanan secara senyap.
Ribuan tan produk segar rosak, mengakibatkan kerugian jutaan euro serta gangguan bekalan runcit berskala besar.
Insiden tersebut mencabar takrif konvensional keterjaminan makanan yang selama ini tertumpu kepada perubahan iklim, kestabilan geopolitik dan kekangan logistik fizikal.
Sejauh manakah serangan siber terhadap rantaian bekalan di Eropah ini memberi kesan langsung mahupun tidak langsung kepada keterjaminan makanan di Malaysia?
Malaysia kekal mengimport produk bernilai tinggi dari Eropah, khususnya tenusu, coklat, daging diproses dan bahan ramuan makanan tertentu.
Gangguan bekalan di peringkat pengedaran dan pengangkutan sejuk beku Eropah berpotensi mencetuskan kejutan bekalan secara mikro, kelewatan penghantaran serta kenaikan kos insuran kargo antarabangsa yang akhirnya diserap kepada pengguna tempatan melalui lonjakan harga barangan import.
Justeru, ini menimbulkan persoalan, adakah Malaysia sudah bersedia rapi menghadapi serangan siber sedemikian di masa hadapan?
Modus operandi serangan siber di Eropah membuktikan bahawa penggodam tidak lagi tertumpu kepada kecurian data atau pemerasan siber, sebaliknya mengeksploitasi jurang keselamatan dalam teknologi operasi dan rangkaian berintegrasi internet dalam industri. Banyak fasiliti rantaian sejuk beku di peringkat global menggunakan unit pengawal berinternet yang lapuk atau terdedah tanpa kawalan menggunakan verifikasi keselamatan.
Dalam konteks Malaysia, Dasar Agromakanan Negara 2021–2030 (DAN 2.0) giat memacu agenda pertanian pintar, automasi digital dan logistik bersepadu. Pusat pengedaran makanan mega, pelabuhan utama seperti Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas, gudang simpanan sejuk, serta kompleks pemprosesan ayam dan ternakan negara kini amat bergantung kepada automasi digital.
Kelemahan sistem pertahanan siber yang melanda Eropah wajar menjadi penanda aras kepada ekosistem tempatan yang mana rantaian bekalan makanan Malaysia beroperasi dengan jurang keselamatan siber yang besar dalam sektor swasta, di mana penyedia logistik dan peruncit sering mengabaikan keselamatan teknologi operasi berbanding sistem perbankan atau utiliti tenaga.
Jika sistem pertahanan stok makanan negara terus diabaikan, boleh mencetuskan krisis bekalan makanan, pembelian panik, lonjakan harga makanan dan menjejaskan keyakinan pengguna terhadap tataamalan keselamatan siber negara.
Justeru, peristiwa di Eropah wajib dijadikan amaran strategik kepada Malaysia. Rangkaian bekalan makanan mesti diiktiraf dan diperkukuh secara komprehensif di bawah skop Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) di bawah Akta Keselamatan Siber 2024.
Langkah kesiapsagaan perlu sentiasa di tahap terbaik bagi mengelak kerugian berskala besar kepada stok bekalan makanan negara.
Audit berkala terhadap integriti teknologi operasi gudang makanan serta latihan kesiapsiagaan krisis agromakanan perlu diselaraskan merentas agensi keselamatan dan sektor industri.
Keterjaminan makanan pada abad ini tidak lagi hanya bergantung kepada kesuburan tanah atau kestabilan cuaca, tetapi turut terkait rapat dengan ketahanan kod verifikasi dan tahap keselamatan infrastuktur siber yang tinggi. –UTUSAN
DR. SITI NURHAYATI KHAIRATUN MOHD. SHARIF
Pensyarah Kanan,
Jabatan Pengurusan Perkhidmatan Makanan,
Fakulti Sains dan Teknologi Makanan,
Universiti Putra Malaysia (UPM)
The post Serangan siber ancam keterjaminan makanan appeared first on Utusan Malaysia.




![Risiko Serangan Siber: Panic Buying Jadi Topik Hangat, Orang Ramai Ditegur Elak Buat Pembelian Melampau [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/11/panic-buying-cyber-attack.jpeg?t=1793873778)
