
SANAA: Sekurang-kurangnya 33 termasuk wanita dan kanak-kanak terbunuh dalam serangan udara diketuai Arab Saudi di wilayah Sanaa, Yemen, menurut pihak berkuasa Houthi hari ini.
Angka korban itu meningkat ketika konflik bersenjata di negara berkenaan kembali memuncak, dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan lebih 1,600 kematian dan lebih 300,000 penduduk kehilangan tempat tinggal sejak pertempuran disambung semula.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Houthi, Anees Alasbahi, berkata serangan di Kampung Al-Shariya, timur ibu negara Sanaa, mengorbankan 33 orang dan mencederakan 39 yang lain.
Agensi berita Saba milik Houthi pada Sabtu melaporkan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan masih diteruskan.
Agensi itu turut mendakwa pesawat tentera melancarkan dua serangan terhadap petugas perubatan yang menjalankan operasi menyelamat.
Alasbahi berkata, angka korban hampir muktamad itu merangkumi 12 lelaki, lapan wanita dan 13 kanak-kanak, manakala mangsa cedera terdiri daripada 16 lelaki, 10 wanita dan 13 kanak-kanak.
Sementara itu, stesen televisyen Al-Masirah yang dikendalikan Houthi menyiarkan rakaman yang didakwa dirakam di lokasi serangan, memaparkan asap menjulang, timbunan runtuhan serta mangsa cedera menerima rawatan di hospital.
Arab Saudi yang terlibat dalam konflik Yaman bagi menyokong kerajaan yang diiktiraf masyarakat antarabangsa, setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan serangan berkenaan.
Bagaimanapun, gabungan tentera diketuai Arab Saudi dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan pihaknya memintas dan memusnahkan peluru berpandu Houthi yang dilancarkan ke arah wilayah Riyadh.
Sementara itu, Houthi mendakwa melancarkan beberapa serangan menggunakan peluru berpandu dan dron terhadap tentera serta kemudahan infrastruktur Arab Saudi, termasuk di negara itu dan Yaman.
Jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree, menerusi hantaran di platform X berkata, enam operasi menyasarkan kemudahan minyak Aramco, Lapangan Terbang Riyadh serta kedudukan tentera Arab Saudi di kedua-dua belah sempadan.
Pada Jumaat, serangan terhadap sebuah pasar di wilayah Taiz mengorbankan 30 orang. Houthi mendakwa serangan udara Arab Saudi menjadi punca kejadian itu, manakala pasukan kerajaan Yaman menuduh kumpulan yang disokong Iran berkenaan melancarkan peluru berpandu balistik ke lokasi berkenaan.
Yemen kembali terjerumus dalam konflik antara Houthi dengan kerajaan yang disokong Arab Saudi pada Julai lalu selepas beberapa tahun menikmati keadaan relatif aman, sekali gus membuka medan baharu dalam konflik di Asia Barat.
Sejak itu, Arab Saudi kerap melancarkan serangan udara terhadap kedudukan Houthi, manakala kumpulan berkenaan meningkatkan serangan terhadap negara kaya minyak itu.- AFP
The post Serangan udara Arab Saudi ragut 33 nyawa di Yemen appeared first on Utusan Malaysia.


