Serangan udara landa bandar kediaman pemimpin Taliban

WorldPolitics
24 Sep 2026 • 10:02 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Serangan udara landa bandar kediaman pemimpin Taliban

KANDAHAR: Serangan udara dilaporkan melanda bandar Kandahar di selatan Afghanistan hari ini, kawasan yang menjadi lokasi kediaman pemimpin tertinggi kerajaan Taliban.

Seorang penduduk berkata kepada AFP, beliau terdengar bunyi jet sebelum letupan kuat berlaku dan melihat kebakaran di tengah bandar berkenaan.

Pihak tentera dan kerajaan Afghanistan belum memberikan sebarang ulasan berhubung serangan itu.

Serangan berkenaan berlaku beberapa hari selepas Pakistan melancarkan serangan udara di kawasan sempadan Afghanistan, yang menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengorbankan sekurang-kurangnya tiga orang awam.

Pakistan pula mendakwa serangan itu membunuh 28 militan. Walaupun beberapa serangan dilaporkan berlaku di kawasan sempadan, serangan udara ke atas bandar Afghanistan jarang berlaku.

Kandahar dan ibu negara, Kabul, turut menjadi sasaran ketika Afghanistan dan Pakistan berperang pada akhir Februari lalu.

Misi Bantuan PBB di Afghanistan (UNAMA) berkata, keganasan yang berlarutan selama beberapa minggu ketika itu mengorbankan ratusan orang awam.

Walaupun gencatan senjata dipersetujui pada Mac lalu, usaha pengantaraan beberapa negara masih gagal mencapai penyelesaian berkekalan antara kedua-dua negara jiran itu.

Isu keselamatan menjadi antara perkara utama yang menghalang penyelesaian, khususnya tuntutan Pakistan supaya Afghanistan membendung kumpulan militan Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP).

Islamabad menuduh kerajaan Taliban memberi perlindungan kepada anggota militan susulan peningkatan serangan, terutama TTP yang melancarkan kempen keganasan terhadap Pakistan sejak bertahun-tahun lalu.

Pegawai Afghanistan menafikan dakwaan itu dan sebaliknya menuduh Pakistan melindungi kumpulan yang memusuhi Afghanistan serta tidak menghormati kedaulatannya.

Serangan Pakistan ke atas kawasan sempadan minggu ini berlaku susulan serangan terhadap ibu pejabat polis di utara Pakistan pada Jumaat lalu yang mengorbankan sekurang-kurangnya 31 orang.

Serangan itu didakwa dilakukan sebuah kumpulan yang mempunyai kaitan dengan TTP.- AFP

The post Serangan udara landa bandar kediaman pemimpin Taliban appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved