
Syarikat pemborong beras negara, Serba Wangi Sdn Bhd telah memberikan sumbangan besar kepada usaha membantu mangsa banjir di Kelantan dengan menyalurkan 20 tan bekalan makanan bernilai RM432,650.
Sumbangan ini disalurkan melalui inisiatif kemanusiaan yang dilancarkan pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming iaitu BOB (Bantuan Orang Baik), yang bertujuan meringankan beban mereka yang terjejas akibat bencana ini.
Sumbangan tersebut merangkumi produk NUUNA, ecoBrown’s BRICE, ecoBrown’s PLUS.

Difahamkan semua bantuan tiba di Luxury Garden pada 2 dan 3 Disember, yang menjadi pusat operasi BOB, tempat para sukarelawan dan bekalan bantuan dikumpulkan serta diselaraskan sebelum disalurkan kepada komuniti yang memerlukan.
Kehadiran dua lori penuh muatan, setiap satu membawa 10 tan bekalan makanan dilihat melambangkan komitmen Serba Wangi dalam menyokong komuniti yang memerlukan.

Jelas syarikat iatu lagi, sumbangan ikhlas ini mencerminkan dedikasi mereka terhadap kebajikan masyarakat, terutamanya dalam waktu-waktu krisis.
Video sumbangan tersebut turut dikongsikan Khairul Aming menerusi satu muat naik di Instagram Story (IGS) miliknya sebentar tadi.





