
ATHENS: Serpihan bilah kipas enjin yang patah menjadi punca tingkap sebuah pesawat Ryanair pecah sejurus berlepas di Greece bulan lalu. Ini menyebabkan kepala seorang penumpang lelaki tersedut keluar dari tingkap sebelum berjaya diselamatkan oleh penumpang lain.
Laporan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) Amerika Syarikat (AS) kelmarin mendedahkan bahawa sisa bangkai burung ditemui di dalam enjinnya, sekali gus menguatkan andaian bahawa pesawat terbabit dirempuh burung semasa berlepas dari Thessaloniki pada 10 Julai lalu.
Insiden cemas di atas pesawat Boeing 737-800 itu menyebabkan tekanan dalam kabin jatuh mendadak sebaik tingkap terpecah, manakala topeng oksigen terpaksa dilepaskan secara automatik dari siling.
Mangsa yang berusia 61 tahun mengalami kecederaan pada bahagian leher dan bahu serta kesan lecur akibat geseran. Penumpang itu sempat ditarik masuk semula ke dalam kabin oleh penumpang berhampiran selepas disedut tingkap yang pecah.
Beberapa saksi menceritakan bahawa mereka mendengar bunyi letupan kuat sebelum pesawat mula hilang ketinggian dan mencetuskan panik dalam kalangan penumpang.
“Ramai yang sedang tidur ketika itu. Kami mendengar bunyi yang sangat kuat seperti tayar meletup dan serta-merta menyedari kabin kehilangan tekanan kerana pesawat mula menjunam,” kata seorang penumpang yang dikenali sebagai Christina kepada Radio Thessaloniki.
Sejurus kejadian, Ryanair dalam kenyataan awalnya mendakwa penerbangan berkenaan berpatah balik hanya disebabkan tingkap penumpang yang tercabut. Bagaimanapun, siasatan rasmi NTSB mengesahkan bahawa pesawat terbabit sebenarnya mengalami kegagalan enjin sebelah kanan yang turut merosakkan beberapa bahagian fuislaj pesawat.
Data rekod penerbangan Flightradar24 mendedahkan bahawa pesawat itu sempat terbang melebihi ketinggian 4,570 meter kira-kira enam minit selepas berlepas, sebelum membuat penurunan mendadak ke paras 1,830 meter. – AFP/AGENSI
The post Serpihan enjin pecahkan tingkap sebelum sedut kepala penumpang appeared first on Utusan Malaysia.

