Sertai Parti Baharu: Rafizi, Nik Nazmi Berdepan Tindakan Akta Lompat Parti, Bon RM10 Juta

LocalPolitics
18 May 2026 • 3:01 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Sertai Parti Baharu: Rafizi, Nik Nazmi Berdepan Tindakan Akta Lompat Parti, Bon RM10 Juta

KUALA LUMPUR - Pengisytiharan keluar parti dibuat Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Mat nampaknya tidak berhasil menamatkan kemelut sedia ada yang tercetus bersama PKR.

Ini kerana parti tersebut diyakini memiliki bukti bahawa kedua-dua mereka terlebih dahulu menyertai parti baharu, sebelum mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing dan meninggalkan PKR.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh berkata, parti kini sedang meneliti kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap kedua-dua bekas pemimpin itu.

Menurut beliau, peruntukan berkaitan Akta Lompat Parti dan perjanjian bon dalaman dimeterai dengan PKR dipercayai masih terpakai meskipun mereka memilih strategi peletakan jawatan terlebih dahulu.

“Ahli Parlimen Pandan dan Ahli Parlimen Setiawangsa mengumumkan bahawa pada 18 haribulan, iaitu hari ini, mereka akan mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing, manakala pada 19 haribulan, iaitu esok, mereka akan keluar daripada parti.

“Itulah cara mereka untuk menunjukkan bahawa Akta Lompat Parti tidak terpakai. Namun, saya mempunyai bukti bahawa mereka sebenarnya telah pun menyertai Parti Bersama Malaysia (MUP). Di laman web MUP, cap masa pendaftaran menunjukkan tarikh 17 haribulan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita ketika menghadiri Program Advokasi Dasar Pengguna Negara 2.0 dan Dialog Pengguna di Hotel Seri Malaysia, Kuantan hari ini.

Pertikaian mulai timbul selepas Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan akan melepaskan kerusi Parlimen masing-masing, sebelum secara rasmi keluar daripada PKR dan mengambil alih kepimpinan MUP menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Fuziah berkata, langkah berkenaan dipercayai bertujuan mengelakkan Akta Lompat Parti daripada dikenakan terhadap mereka.

“Berdasarkan peruntukan dalam perlembagaan PKR, kedua-dua pemimpin itu mungkin dianggap telah melompat parti pada 17 Mei, iaitu sehari sebelum mereka mengosongkan kerusi Parlimen.

“Jika berdasarkan perlembagaan parti, mereka sebenarnya telah melompat parti pada 17 haribulan sebelum mengosongkan kerusi hari ini. Oleh itu, penasihat undang-undang parti akan mengkaji perkara ini sebelum sebarang tindakan diambil terhadap mereka,” katanya.

Kontroversi kini tertumpu kepada persoalan sama ada tindakan Rafizi dan Nik Nazmi masih berada dalam skop Akta Lompat Parti yang diperkenalkan bagi mengekang ketidakstabilan politik akibat pertukaran parti dalam kalangan wakil rakyat.

Dalam masa sama, Fuziah turut memaklumkan bahawa PKR sedang mempertimbangkan kemungkinan mengambil tindakan disiplin atau undang-undang terhadap lima lagi Ahli Parlimen PKR yang hadir bersama Rafizi dan Nik Nazmi semasa pengumuman politik mereka di Petaling Jaya, semalam.

“Kita akan membincangkan perkara ini dalam mesyuarat Biro Politik PKR esok, termasuk tindakan terhadap semua yang terlibat dalam program semalam,” katanya.

Kemelut yang semakin memuncak itu disifatkan sebagai antara perpecahan dalaman paling serius dalam PKR sejak beberapa tahun kebelakangan, memandangkan Rafizi sebelum ini menyandang jawatan Timbalan Presiden PKR manakala Nik Nazmi pula merupakan Naib Presiden parti.

Semalam, kedua-dua ahli politik berkenaan mengumumkan hasrat untuk mengambil alih kepimpinan MUP serta bertanding semula di kawasan Parlimen masing-masing menggunakan platform politik baharu itu pada (PRU).

Langkah tersebut dilihat berpotensi mencetuskan penjajaran semula yang signifikan dalam landskap politik pembangkang dan gerakan reformasi negara. - Getaran, 18 Mei 2026