Sertai Tiga Kejohanan Berturut-turut, Aaron-Wooi Yik Akui Tahap Stamina Terjejas

FootballSports
29 May 2025 • 12:11 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik mengakui bahawa tahap stamina mereka semakin terjejas selepas menyertai tiga kejohanan berturut-turut.

Menurut laporan Berita Harian, selepas muncul juara di Terbuka Thailand dan mara ke final Masters Malaysia minggu lalu, pasangan ranking ketiga dunia itu kini menggalas cabaran di Terbuka Singapura.

image is not available

Foto: Carian Google

Namun, keletihan jelas terpancar dalam aksi pusingan pertama mereka menentang pasangan Denmark, Frederik Sogaard dan Rasmus Kjaer.

Walaupun berjaya mencatat kemenangan straight set 21-19, 24-22, Aaron-Wooi Yik berdepan detik sukar terutamanya pada set kedua apabila ketinggalan sejauh 7-15 sebelum bangkit menyelamatkan tiga mata permainan.

Aaron menegaskan bahawa dalam keadaan fizikal yang tidak berada pada tahap terbaik, kekuatan mental dan fokus menjadi senjata utama mereka.

“Ini adalah kejohanan ketiga kami berturut-turut. Dari segi fizikal, kami memang letih, tetapi jika kekuatan mental dapat dikekalkan, kami yakin boleh meneruskan momentum ini dan harapnya dapat mara ke satu lagi perlawanan final.

“Yang penting sekarang adalah ambil satu perlawanan pada satu masa. Kami tak boleh terlalu fikir jauh, sebaliknya fokus untuk pulih dan bersedia setiap kali turun ke gelanggang,” katanya.

image is not available

Foto: The Sun

Walaupun diasak hebat dalam perlawanan, Aaron-Wooi Yik tetap tenang dan menggunakan pengalaman mereka untuk mengawal situasi getir, sesuatu yang menjadi kunci kepada kemenangan mereka kali ini.

Keupayaan mereka untuk bangkit walaupun dalam keadaan fizikal yang merosot memberi gambaran jelas tentang daya juang mereka, namun juga menjadi peringatan tentang kepentingan pengurusan jadual dan pemulihan stamina dalam sukan bertaraf dunia.

Sumber: Berita Harian (Khairil S Iswan)