johardy03/08/2026 - 12:25 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 3 Ogos — Pemegang saham terbesar dan pemiutang PRG Holdings Bhd, Datuk Ng Yan Cheng berkata, seruan supaya semua pihak "melupakan persengketaan" dalam syarikat itu tidak seharusnya dibuat dengan mengorbankan prinsip akauntabiliti.
Sebaliknya kata beliau, semakan bebas terhadap keputusan yang dibuat di bawah kepimpinan terdahulu perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum sebarang perubahan terhadap Lembaga Pengarah dilakukan.
Mengulas surat terbuka bekas Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan PRG, Datuk Lua Choon Hann, Ng berkata, isu yang dihadapi PRG tidak boleh disifatkan sekadar pertikaian peribadi antara dua pemegang saham terbesar syarikat.
Menurut beliau, ia membabitkan pendahuluan pemegang saham yang masih belum dijelaskan, pendedahan kepada liabiliti pemiutang, semakan bebas yang sedang dijalankan terhadap transaksi lampau serta isu tadbir urus syarikat.
"Dakwaan pemiutang itu tidak timbul secara mendadak, dan ia juga tidak menghapuskan hakikat bahawa saya telah bertahun-tahun menyediakan kecairan kewangan bagi membantu PRG memenuhi obligasinya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tindakan undang-undang yang diambil adalah bagi mendapatkan semula pendahuluan pemegang saham yang masih belum diselesaikan selepas rundingan penstrukturan semula gagal mencapai persetujuan.
Pada masa sama, beliau menegaskan kekal komited untuk mencapai penyelesaian yang adil dan mampan demi kepentingan syarikat sebagai pemegang saham utama serta pemiutang.
Ng berkata, menggambarkan keadaan itu sekadar sebagai pertelingkahan antara individu berisiko mengalihkan perhatian pemegang saham daripada persoalan yang lebih besar mengenai kedudukan kewangan PRG, termasuk projek Picasso Residence pada 2019 yang gagal, projek ladang kayu jati yang tidak berjaya serta keputusan pengurusan yang dibuat di bawah pentadbiran terdahulu.
Beliau berkata, Lua berkhidmat sebagai ahli Lembaga Pengarah PRG dari November 2013 hingga September 2024, manakala bekas Pengarah Urusan, Datuk Wee Cheng Kwan, pula berada dalam lembaga syarikat dari Ogos 2013 hingga Mac 2025.
Semakan bebas perlu diteruskan
Menurut Ng, berdasarkan tempoh perkhidmatan mereka yang panjang dalam pengurusan tertinggi, kedua-duanya tidak boleh dianggap sebagai pemerhati yang berkecuali ketika pemegang saham masih menuntut penjelasan mengenai prestasi sejarah, tadbir urus serta keputusan komersial syarikat.
Beliau berkata, rekod kewangan awam menunjukkan PRG merekodkan kerugian dalam beberapa tahun kewangan ketika di bawah kepimpinan terdahulu, termasuk dari 2018 hingga 2021 serta sekali lagi pada 2023, sebelum mengiktiraf rosot nilai dan kerugian tambahan pada 2024.
Bagaimanapun, katanya, angka kewangan itu dengan sendirinya tidak membuktikan berlakunya sebarang salah laku oleh mana-mana individu.
Sebaliknya, menurut beliau, keadaan itu mengukuhkan keperluan supaya keputusan penting korporat serta pendedahan liabiliti yang masih belum diselesaikan sepanjang tempoh kepimpinan terdahulu diteliti secara bebas sebelum pemegang saham diminta untuk melupakan perkara berkenaan.
Ng turut mengaitkan seruan perdamaian oleh Lua dengan usaha berasingan Datuk Sheah Kok Fah untuk melantik dirinya serta calon-calon beliau menganggotai Lembaga Pengarah PRG.
Beliau berkata, sebarang perubahan terhadap kawalan Lembaga Pengarah sebelum semakan bebas diselesaikan berpotensi mempengaruhi cara dapatan semakan itu diterima, ditangani atau dikomunikasikan, namun beliau tidak membuat sebarang dakwaan bahawa tindakan itu didorong oleh niat yang tidak wajar.
Sebaliknya, Ng menggesa Lua, Wee dan Sheah supaya menyatakan sokongan secara terbuka terhadap semakan bebas berkenaan, memelihara serta menyerahkan semua rekod berkaitan, dan membenarkan penelitian dilakukan terhadap keputusan penting yang dibuat sepanjang tempoh kepimpinan terdahulu.
Media perlu beri konteks yang seimbang
Ng turut melahirkan rasa kecewa terhadap sebuah organisasi media yang menurutnya menyiarkan surat terbuka Lua sebagai satu gesaan perdamaian tanpa meneliti secara seimbang peranan lama Lua sebagai eksekutif kanan atau mendapatkan penjelasan daripada beliau sebelum laporan diterbitkan.
Katanya, organisasi media arus perdana mempunyai pengaruh besar terhadap persepsi pasaran dan sewajarnya berhati-hati agar tidak menampilkan pandangan bekas pemegang jawatan yang mempunyai kepentingan sebagai ulasan berkecuali tanpa memberikan konteks sejarah serta latar belakang komersial yang lengkap.
"Saya kekal terbuka kepada dialog yang membina, namun perpaduan tidak boleh dicapai dengan menutup fail sebelum pemegang saham memperoleh jawapan yang sewajarnya," katanya.
Kenyataan media Ng turut menegaskan kenyataan media ini adalah pendirian beliau sendiri. Perkara yang dibangkitkan masih tertakluk kepada proses semakan bebas, prosiding mahkamah dan/atau proses kawal selia yang sedang berjalan. Tiada mana-mana dakwaan boleh dianggap sebagai fakta yang telah dibuktikan melainkan diputuskan melalui proses perundangan atau disokong oleh keterangan yang sah. - DagangNews.com



