Servis Kereta Tanpa Drama: Wanita Pintar Perlu Tahu Rahsia Ini

18 Mar 2026 • 2:35 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Servis Kereta Tanpa Drama: Wanita Pintar Perlu Tahu Rahsia Ini

Ramai wanita hari ini memandu sendiri ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah atau menguruskan pelbagai urusan harian dengan kereta. Namun apabila tiba masa untuk servis kereta, tidak semua benar-benar memahami perkara asas yang perlu diperiksa atau diganti.

Akibatnya, ada yang sekadar menyerahkan sepenuhnya kepada mekanik tanpa mengetahui sama ada komponen tersebut benar-benar perlu ditukar atau masih boleh digunakan. Sebenarnya, memahami beberapa perkara asas tentang penyelenggaraan kereta bukan sahaja membantu menjimatkan kos.

Ia juga memberi keyakinan apabila berurusan di bengkel. Dengan sedikit pengetahuan tentang komponen penting dan jadual penyelenggaraan, anda dapat memastikan servis kereta dilakukan dengan tepat. Kereta pula akan sentiasa berada dalam keadaan baik, selamat dipandu dan risiko kerosakan besar dapat diminimakan.

Berikut adalah beberapa komponen asas yang perlu diketahui oleh setiap pemilik kereta terutamanya wanita yang ingin lebih peka tentang penjagaan kenderaan mereka.

1. Minyak enjin (Minyak hitam)

Minyak enjin memainkan peranan penting dalam memastikan pergerakan komponen di dalam enjin berjalan lancar tanpa geseran berlebihan. Ia juga membantu menyejukkan enjin serta mengurangkan pengumpulan kotoran yang boleh menjejaskan prestasi kereta.

Bagi minyak enjin jenis mineral atau bukan sintetik, ia biasanya perlu diganti setiap sekitar 5,000 kilometer atau kira-kira tiga bulan sekali bergantung kepada kekerapan penggunaan kereta. Namun jika menggunakan minyak enjin jenis sintetik, tempoh penggunaannya boleh menjadi lebih panjang iaitu sekitar 7,500 hingga 10,000 kilometer sebelum perlu ditukar.

2. Penapis minyak enjin (Oil filter)

Setiap kali minyak enjin ditukar, penapis minyak juga sepatutnya diganti sekali. Penapis ini berfungsi menapis kotoran dan sisa karbon yang terhasil daripada proses pembakaran dalam enjin.

Jika penapis minyak tidak ditukar, kotoran yang terkumpul boleh kembali beredar bersama minyak enjin yang baru yang seterusnya akan mengurangkan keberkesanan pelinciran enjin. Oleh sebab itu, kebanyakan mekanik akan menukar penapis minyak pada masa yang sama dengan servis minyak enjin.

3. Spark plug

Spark plug merupakan komponen kecil tetapi memainkan peranan besar dalam proses pembakaran bahan api di dalam enjin. Ia menghasilkan percikan api yang diperlukan untuk menyalakan campuran udara dan bahan api. Kebiasaannya, spark plug disarankan untuk ditukar sekitar 20,000 kilometer mengikut jadual penyelenggaraan standard.

Namun dalam banyak keadaan, ia masih boleh berfungsi dengan baik sehingga 30,000 hingga 40,000 kilometer. Apabila bahagian elektrod mula menipis atau haus, prestasi enjin mungkin menjadi kurang lancar. Jadi menukarnya pada waktu yang sesuai dapat membantu mengekalkan prestasi pemanduan.

4. Bateri kereta

Bateri adalah sumber kuasa utama yang membolehkan kereta dihidupkan serta membekalkan tenaga kepada pelbagai sistem elektrik dalam kenderaan. Jangka hayat bateri biasanya sekitar 18 bulan hingga dua tahun bergantung kepada cara penggunaan kereta.

Jika menggunakan bateri jenis konvensional yang memerlukan penyelenggaraan, paras air suling perlu diperiksa dan ditambah secara berkala. Bagi bateri jenis bebas penyelenggaraan pula, ia tidak memerlukan penambahan air tetapi biasanya mempunyai harga yang sedikit lebih mahal. Memilih bateri daripada jenama yang dipercayai juga penting bagi mengelakkan risiko produk tiruan yang semakin banyak di pasaran.

5. Timing belt

Timing belt pula berfungsi menyelaraskan pergerakan komponen penting dalam enjin seperti crankshaft dan camshaft supaya enjin dapat beroperasi dengan tepat. Jika komponen ini rosak atau putus, kerosakan enjin yang lebih serius boleh berlaku.

Tempoh penukaran timing belt bergantung kepada model kereta. Sebagai contoh, sesetengah model kereta mungkin memerlukan penukaran sekitar 60,000 kilometer manakala model lain boleh bertahan sehingga 90,000 kilometer atau lebih. Oleh itu, adalah penting untuk merujuk buku penyelenggaraan kenderaan bagi mengetahui jadual yang tepat.

6. Clutch plate

Bagi kereta transmisi manual, clutch plate adalah komponen yang membolehkan pertukaran gear dilakukan dengan lancar. Namun tidak seperti komponen lain yang mempunyai jarak servis tertentu, penukaran clutch plate lebih bergantung kepada keadaan penggunaan kereta.

Biasanya ia hanya perlu diganti apabila terdapat tanda-tanda seperti clutch slipping iaitu apabila enjin berbunyi kuat tetapi kereta tidak memecut seperti biasa. Dalam sesetengah kes, ada pemandu yang hanya menukar clutch selepas penggunaan melebihi 100,000 kilometer.

7. Fuel filter

DI samping itu, fuel filter bertugas menapis kotoran atau bendasing dalam bahan api sebelum ia sampai ke enjin. Tanpa penapisan yang baik, kotoran boleh memasuki sistem pembakaran dan menjejaskan prestasi kereta.

Secara amnya, fuel filter boleh diganti sekitar 40,000 kilometer sekali. Kosnya juga agak rendah namun kesannya kepada prestasi enjin boleh menjadi sangat besar jika tidak diselenggara dengan baik.

8. Air filter

Penapis udara atau air filter berfungsi memastikan udara yang masuk ke enjin bersih daripada habuk dan kotoran. Udara yang bersih membantu proses pembakaran menjadi lebih efisien serta meningkatkan prestasi enjin.

Biasanya penapis udara ditukar setiap 20,000 kilometer. Namun bagi mereka yang menggunakan penapis jenis prestasi seperti K&N, komponen tersebut tidak perlu diganti sepenuhnya kerana ia boleh dibersihkan dan digunakan semula.

9. ATF (Automatic transmission fluid)

Bagi kereta automatik, minyak transmisi automatik atau ATF sangat penting untuk memastikan pertukaran gear berlaku dengan lancar. Minyak ini juga membantu menyejukkan dan melindungi komponen di dalam gearbox.

Jika ATF tidak diganti dalam tempoh yang lama, ia boleh menyebabkan kerosakan pada sistem transmisi automatik yang memerlukan kos pembaikan yang tinggi. Oleh itu, kebanyakan pakar menyarankan penukaran minyak ini sekitar 30,000 kilometer.

10. Gear oil

Untuk kereta manual, sistem transmisi menggunakan gear oil dan bukannya ATF seperti kereta automatik. Minyak ini berfungsi melincirkan gear di dalam gearbox supaya pertukaran gear berlaku dengan lebih lancar dan tidak menghasilkan bunyi kasar.

Gear oil biasanya disarankan untuk ditukar setiap 60,000 kilometer bergantung kepada cara penggunaan kereta dan cadangan pengeluar. Penukaran secara berkala membantu memastikan komponen gearbox sentiasa dilindungi daripada kehausan dan kerosakan.

11. Brake fluid dan power steering fluid

Manakala brake fluid memainkan peranan penting dalam sistem brek hidraulik kerana ia membantu memindahkan tekanan daripada pedal brek ke sistem brek kereta. Manakala power steering fluid pula memudahkan pemandu memusing stereng dengan lebih ringan.

Kedua-dua bendalir ini boleh diganti atau dilakukan proses flush sekitar 60,000 kilometer bagi memastikan sistem berfungsi dengan optimum. Menjaga tahap dan kualiti kedua-dua bendalir ini juga penting untuk keselamatan pemanduan serta mengelakkan kerosakan komponen yang mahal.

12. Radiator coolant

Radiator coolant membantu mengekalkan suhu enjin supaya tidak terlalu panas ketika pemanduan. Ia juga berfungsi mengelakkan air radiator daripada mendidih terlalu cepat serta melindungi sistem penyejukan daripada karat.

Jika air radiator kelihatan jernih seperti air paip biasa, besar kemungkinan ia tidak menggunakan coolant yang sebenar. Menukar coolant sekitar 60,000 kilometer dapat membantu enjin beroperasi pada suhu yang lebih stabil.

13. Air-cond belt / alternator belt

Belt ini berfungsi menggerakkan beberapa komponen penting seperti alternator dan sistem penghawa dingin. Lama-kelamaan, getah pada belt boleh menjadi haus dan mula menunjukkan rekahan halus pada permukaannya.

Jika terdapat tanda-tanda retakan pada bahagian tersebut, sebaiknya ia diganti segera. Ramai pemilik kereta memilih untuk menukar belt ini serentak dengan penukaran timing belt bagi menjimatkan kos kerja.

14. Water pump

Selain itu, water pump pula bertanggungjawab untuk mengalirkan coolant ke seluruh sistem penyejukan enjin. Tanpa komponen ini, enjin boleh mengalami masalah kepanasan dengan cepat.

Biasanya water pump akan ditukar ketika penukaran timing belt kali kedua. Contohnya, jika timing belt ditukar setiap 80,000 kilometer maka penukaran water pump boleh dilakukan sekitar 160,000 kilometer kerana jangka hayatnya hampir sama.

15. Brake pad

Brake pad adalah komponen penting yang memastikan kereta dapat berhenti dengan selamat. Ia akan menjadi semakin nipis apabila digunakan kerana bergesel dengan cakera brek setiap kali pedal ditekan.

Baca juga:

Penukaran brake pad biasanya bergantung kepada cara pemanduan namun secara purata ia boleh bertahan sekitar tiga hingga empat tahun. Jika brek terasa kurang mencengkam atau mengeluarkan bunyi ketika membrek, itu mungkin tanda bahawa brake pad sudah haus dan perlu diganti.

Kesimpulannya, memahami asas penyelenggaraan servis kereta bukanlah sesuatu yang sukar. Dengan mengetahui fungsi komponen penting serta tempoh penyelenggaraannya, anda bukan sahaja dapat menjaga kereta dengan lebih baik malah dapat mengelakkan kerosakan besar yang memerlukan kos pembaikan tinggi.

Pengetahuan kecil seperti ini juga membantu anda lebih yakin ketika berurusan di bengkel dan memastikan setiap servis yang dilakukan benar-benar diperlukan.