SESB perlu kukuh: Madius. Memastikan kelancaran penyerahan kuasa kawal selia elektrik

16 Oct 2023 • 3:13 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) perlu menjadi sebuah syarikat yang kukuh dan mampu membiayai kos sendiri, bagi memastikan penyerahan kuasa kawal selia bekalan elektrik daripada kerajaan Persekutuan kepada Sabah, 3 Jan tahun hadapan berjalan lancar.

Mengulas penyerahan itu seperti mana diumum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 baru-baru ini, Pengerusi SESB Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata pada masa ini, syarikat itu masih memerlukan bantuan daripada kerajaan.

Beliau berkata ini antara lain, kerana SESB kini beroperasi dengan kerugian disebabkan pembelian kuasa daripada penjana tenaga bebas (IPP) pada kadar RM0.43 seunit, namun dijual kepada pengguna pada harga RM0.34, mengikut tarif ditetapkan kerajaan Persekutuan.

“SESB tidak mampu biayai kos operasi sendiri disebabkan beberapa perkara, termasuk tarif elektrik tidak mengikut jadual kenaikan, menyebabkan SESB terpaksa menanggung kos lebihan. SESB juga hanya mampu menjana dan memiliki 20 peratus daripada keperluan beban asas tenaga elektrik di Sabah.

SPONSORED CONTENT Daily Express members: Enjoy 1 for 1 signature cocktails and more at Hyatt Centric Kota Kinabalu Kota Kinabalu: DAILY EXPRESS is partnering with Hyatt Centric Kota Kinabalu to offer an exclusive deal for our members. Read more “Bakinya dijana IPP sebelum dijual kepada SESB. Syarikat kita perlu miliki keupayaan menjana sendiri 70 peratus daripada keperluan beban asas tenaga elektrik, untuk selesaikan gangguan di Sabah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Darau di sini, Sabtu lepas.

Jumaat lepas, Anwar berkata meskipun kuasa kawal selia diserahkan kepada Kerajaan Sabah, Kerajaan Persekutuan tetap akan terus membantu kerajaan negeri itu dalam mengukuhkan industri bekalan elektrik, melalui pemberian subsidi kepada SESB, sehingga Pelan Transformasi SESB berjaya dilaksanakan pada 2030.

Sementara itu, Madius berkata pembinaan PPU Darau itu yang dijadual siap Januari 2025, dijangka dapat menyelesaikan masalah gangguan elektrik di kawasan Inanam, dan sekitarnya.

Beliau berkata PPU yang mula dibina sejak Mei lalu, bagi memantap keupayaan dan keberkesanan pengagihan kuasa serta melindungi sistem kuasa elektrik, selain menampung kapasiti permintaan bekalan elektrik di kawasan Inanam, Kolombong dan sekitarnya.

“Projek ini telah dikenal pasti sebagai salah satu daripada projek berimpak tinggi, yang dilaksanakan bertujuan mengurangkan kejadian gangguan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Inanam 132/33kV, serta mengukuhkan sistem pembahagian elektrik di kawasan Inanam,” katanya.

Madius berkata projek itu dibiayai sendiri SESB dan berharap supaya semua pihak khususnya kontraktor terlibat, melaksanakan kerja-kerja pembinaan mengikut jadual dan spesifikasi yang ditetapkan.

“Pemantauan secara berkala oleh pihak SESB iaitu Bahagian Projek Utama juga sangat penting, untuk memastikan kemajuan dan kualiti kerja projek ini berada dalam kawalan,” tegasnya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.