Setahun alami sakit sendi sebelum menopaus

Health & FitnessLifestyle
11 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Setahun alami sakit sendi sebelum menopaus

Setiap kali terjaga daripada tidur, Monitar Tan, 56, tidak boleh terus bangun seperti biasa.

Sebaliknya, dia perlu mengurut jari dan siku terlebih dahulu selama lima hingga 10 minit bagi mengurangkan rasa sakit serta kaku yang dialami.

Keadaan itu dikesan sejak Januari tahun lalu, namun semakin teruk bermula awal tahun ini..

Pada mulanya, pendidik kesihatan ini menyangka sakit sendi tersebut berlaku akibat stres atau proses penuaan.

Dia tidak pernah terfikir perubahan pada tubuhnya itu mempunyai kaitan dengan perimenopaus atau fasa peralihan sebelum menopaus.

“Dalam masa sama, tahun lalu saya banyak menghabiskan masa menjaga emak di hospital, jadi saya sangka mungkin itu antara sebab badan sakit-sakit.

“Namun, apabila keadaan semakin teruk dan jari sukar digerakkan, saya mula tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku.

“Saya kemudian berkongsi masalah ini dengan kawan baik dan mereka memberitahu saya mungkin melalui fasa perimenopaus,” katanya ketika ditemui selepas perasmian platform penjagaan kesihatan Luness baru-baru ini.

Image from: Setahun alami sakit sendi sebelum menopaus
Monitar Tan

Selain sakit pada jari, Monitar turut berdepan gangguan tidur dan kerap berpeluh.

Setakat akhir bulan lalu, dia tidak lagi mengalami haid selama 483 hari.

Tempoh itu sekali gus menandakan dirinya kini berada dalam fasa menopaus atau putus haid kekal.

Menariknya, fasa perimenopaus yang dilaluinya tidak terlalu lama, iaitu kira-kira setahun sebelum memasuki menopaus.

Tempoh itu lebih singkat berbanding kebanyakan wanita yang lazimnya mengalaminya antara lima hingga 10 tahun sebelum putus haid kekal.

“Simptom saya agak lewat jika dibandingkan dengan kawan-kawan lain yang mengalaminya ketika berusia awal 40an lagi.

“Tetapi mungkin juga ia sudah bermula lebih awal, cuma saya tidak menyedarinya kerana tanda-tandanya tidak begitu ketara.

“Namun, saya bersyukur kerana keadaan saya tidak terlalu teruk sehingga mengganggu rutin harian seperti yang dialami kawan-kawan.

“Saya terima sahaja perubahan ini, bagi saya, selagi dapat melalui proses penuaan dengan sihat, itu sudah cukup baik,” katanya.

Jalani rawatan, elak jejas rutin harian

Bagaimanapun, wanita yang belum berkahwin ini tetap mendapatkan rawatan bagi mengawal simptom selepas menopaus agar tidak menjejaskan rutin hariannya.

Sejak dua bulan lalu, Monitar mendapatkan rawatan menerusi Luness, termasuk menjalani ujian darah dan konsultasi dalam talian bersama doktor.

“Berdasarkan keputusan ujian, doktor kemudian memberikan cadangan berkaitan pemakanan dan gaya hidup.

“Saya bersedia mencubanya kerana tidak mahu simptom menjadi lebih teruk sehingga menjejaskan kehidupan dan rutin seharian,” katanya.

Image from: Setahun alami sakit sendi sebelum menopaus
Aplikasi merekodkan dia tidak lagi mengalami haid selama 483 hari.

Hal itu kerana, Monitar tidak mahu pengalaman yang dilalui ibunya ketika menopaus berulang kepadanya.

Katanya, perubahan emosi ibunya ketika itu agak ketara sehingga turut memberi kesan kepada seluruh keluarga.

“Emak jadi cepat marah dan saya agak risau kerana tahu suatu hari nanti saya juga akan melalui menopaus.

“Saya tidak mahu perkara sama berlaku dan sebab itulah saya mengambil langkah awal supaya simptom tidak menjadi lebih teruk sehingga orang sekeliling terpaksa berdepan dengan perubahan emosi saya setiap hari,” katanya.

Anxiety datang tiba-tiba

Pelakon dan pengacara, Sazzy Falak, 45, turut berkongsi pengalaman perimenopaus yang dialami sejak kira-kira enam tahun lalu.

Katanya, simptom paling ketara ialah gangguan kebimbangan (anxiety) yang datang secara tiba-tiba tanpa sebab jelas.

Keadaan itu pernah membuatkannya takut untuk memandu kerana bimbang sesuatu yang buruk seperti kemalangan berlaku ketika di jalan raya.

Malah, ibu kepada tiga anak itu turut berdepan perubahan emosi sehingga hilang minat untuk melakukan perkara yang sebelum ini menjadi rutin hariannya.

Pada mulanya, dia menyangka keadaan itu berpunca daripada keletihan ketika Covid-19, namun perasaan tersebut berlarutan hingga selepas pandemik

“Saya rasa seperti bukan diri sendiri dan tertanya-tanya apa yang berlaku kepada saya.

“Sebelum ini, saya seorang yang sangat aktif dan mampu melakukan pelbagai perkara, tetapi tiba-tiba semuanya terasa begitu sukar hingga saya hilang minat.

“Perkara mudah seperti menguruskan kerja pun terasa mencabar, bahkan saya juga sukar berfikir dan rasa seperti tidak mampu melakukan hal-hal rutin,” katanya.

Sakit sendi, brain fog paling lazim di Malaysia

Sementara itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Perubatan Luness Health Sdn. Bhd., Dr. Neogh Kok Lim berkata, gejala perimenopaus berbeza dari segi jenis dan tahapnya mengikut individu.

Namun, sakit sendi dan brain fog antara yang paling lazim dialami wanita di Malaysia.

Image from: Setahun alami sakit sendi sebelum menopaus
Dr. Neogh Kok Lim

Katanya, gejala panas mendadak dan berpeluh mungkin sukar dijadikan petunjuk utama di negara ini memandangkan cuaca panas serta lembap sepanjang tahun.

“Apabila wanita memasuki perimenopaus, paras estrogen mula turun naik dan berkurangan.

“Perubahan hormon ini boleh mempengaruhi sendi dan menyebabkan segelintirnya mengalami sakit atau kekakuan sendi,” katanya.

Antara gejala lain termasuk gangguan tidur, perubahan emosi, anxiety, perubahan berat badan, penurunan libido dan jantung berdebar.

Jelas Kok Lim, dengan rawatan tepat, pada masa sesuai dan mengikut keperluan setiap wanita, penjagaan kesihatan dalam perimenopos boleh dilakukan dengan selamat sekali gus memberi perubahan besar kepada kehidupan.

Sehubungan itu, dia menyarankan wanita terutama yang berusia 40 tahun ke atas supaya mula memberi perhatian kepada pemakanan dan aktiviti fizikal sebagai sebahagian daripada usaha menjaga kesihatan ketika melalui fasa berkenaan.

“Pastikan pengambilan protein dan serat mencukupi serta lakukan latihan kekuatan secara berkala bagi membantu mengekalkan jisim dan kekuatan otot.

“Langkah ini penting kerana menopaus bukan sekadar menyebabkan haid terhenti, malah perubahan hormon boleh mempengaruhi pelbagai aspek kesihatan wanita termasuk otak, emosi, tidur, sendi, otot, tulang dan kesihatan jantung,” katanya.

Infografik

10 tanda perimenopos:

-Haid mula tidak teratur
-Rasa panas secara tiba-tiba (hot flushes) dan berpeluh malam.
-Gangguan tidur atau sukar tidur.
-Perubahan emosi (mudah marah, sensitif atau murung)
-Brain fog (sukar fokus, mudah lupa atau rasa pemikiran lebih perlahan)
-Sakit dan kekakuan sendi.
-Anxiety
-Naik berat badan
-Libido menurun
-Jantung berdebar bagi sesetengah wanita.

The post Setahun alami sakit sendi sebelum menopaus appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved