Setahun berlalu, pusara Nurly Sahirah masih diziarahi setiap hari

7 Jun 2026 • 12:09 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Setahun berlalu, pusara Nurly Sahirah masih diziarahi setiap hari
Azman (lima dari kiri) menyerahkan naskhah al-Quran tulisan tangan Allahyarham Nurly Sahirah kepada pihak UPSI yang diterima oleh Md Amin (tiga dari kanan) sebagai simbolik majlis. Foto: ADILA SHARINNI WAHID
Image from: Setahun berlalu, pusara Nurly Sahirah masih diziarahi setiap hari
Naskhah al-Quran tulisan tangan Allahyarham Nurly Shahirah kini diserahkan sementara kepada Perpustakaan Tuanku Bainun, UPSI bagi tujuan pendigitalan dan pameran umum.

PASIR PUTEH - Lebih setahun selepas tragedi nahas bas yang meragut nyawanya, pusara pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nurly Sahirah Azman masih menerima kunjungan orang ramai hampir setiap hari.

Bapa Allahyarham, Azman Mohamad, 65, berkata, kehadiran pelawat bukan sahaja dari pelbagai negeri di Malaysia malah ada yang datang dari Indonesia, Brunei dan Singapura semata-mata untuk menziarahi pusara serta melihat al-Quran tulisan tangan yang dihasilkan anak bongsunya itu.

Menurutnya, sehingga kini purata sekitar 20 pengunjung sehari datang ke rumah dan pusara Nurly Sahirah yang terletak kira-kira 300 meter dari kediaman keluarga.

“Sehingga petang semalam masih ramai yang datang menziarahi pusara arwah walaupun sudah lebih setahun pemergiannya. Ada yang datang dari Putrajaya, Kedah, Melaka dan pelbagai tempat lain semata-mata untuk ziarah.

“Ketika musim cuti sekolah, hampir setiap hari ada pengunjung. Saya juga tidak boleh keluar jauh dari rumah. Kalau terpaksa keluar, saya tinggalkan nombor telefon supaya mereka boleh hubungi saya,” katanya.

Dia berkata demikian pada sempena Majlis Tautan Kasih dan Ukhwah Universiti Pendidikan Sultan Idris bersama Waris Insiden Gerik 2025 di Tok Aman Bali di sini pada Ahad.

Turut hadir, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff.

Nurly Sahirah, 23, merupakan antara 15 pelajar UPSI yang terkorban dalam nahas membabitkan sebuah bas yang membawa pelajar universiti itu di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak pada 9 Jun tahun lalu ketika dalam perjalanan pulang ke kampus selepas cuti Aidiladha.

**media[3542885]**

Tragedi yang turut menyebabkan puluhan pelajar lain cedera itu menggemparkan negara dan menjadi antara nahas jalan raya paling menyayat hati membabitkan pelajar institusi pengajian tinggi.

Azman berkata, kebanyakan pengunjung mahu melihat sendiri al-Quran tulisan tangan Nurly Sahirah yang kini disimpan di rumah dalam sebuah replika khas bagi mengelakkan ia rosak.

Katanya, keluarga tidak pernah mengutamakan sumbangan daripada pengunjung, sebaliknya melihat kehadiran mereka sebagai bukti kecintaan orang ramai terhadap al-Quran.

“Saya melihat ini sebagai kebesaran al-Quran. Mereka datang bukan kerana Nurly semata-mata tetapi kerana mahu melihat hasil tulisan al-Quran yang ditinggalkan arwah.

“Bagi saya, setakat ini tidak ada unsur khurafat kerana pengunjung datang dengan berhemah dan tujuan yang baik untuk mengambil pengajaran daripada kecintaan arwah terhadap al-Quran,” katanya.

Menurut Azman, antara pengunjung paling jauh yang pernah datang ialah dari Indonesia termasuk Acheh, Bandung, Yogyakarta dan Chiang Mai di Thailand selain Brunei serta Singapura.

Beliau berkata, walaupun kehilangan anak bongsu daripada lima beradik itu masih dirasai, keluarga reda dengan ketentuan Ilahi dan bersyukur apabila Nurly terus dikenang melalui kecintaannya terhadap al-Quran.