Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2026 anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah berlangsung dengan penuh penghormatan dan bermakna di World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur hari ini.
Majlis perasmian yang disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim, mencerminkan keprihatinan institusi diraja terhadap usaha memperkasa dan memartabatkan wanita serta keluarga di negara ini.
Mengangkat tema “Seteguh KASIH Ibu”, sambutan pada tahun ini memberi pengiktirafan kepada ketabahan, pengorbanan dan kasih sayang luar biasa golongan ibu dalam membentuk kesejahteraan keluarga serta pembangunan masyarakat.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri berkata, ibu merupakan tunjang utama dalam membina generasi berdaya tahan dan berakhlak. “Seteguh KASIH Ibu” bukan sekadar tema sambutan, tetapi simbol penghargaan terhadap kasih sayang dan pengorbanan ibu yang kekal menjadi nadi kesejahteraan masyarakat dan negara,” kata beliau.
Menurutnya lagi, kerajaan komited memperkukuh sokongan kepada wanita dan keluarga melalui pendekatan yang menyeluruh, inklusif dan berteraskan kesejahteraan keluarga selaras dengan aspirasi Dasar KASIH Keluarga Negara.
Dalam majlis tersebut, KPWKM turut mengetengahkan perjuangan wanita yang berdepan cabaran mendapatkan zuriat menerusi Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI) dengan tagline “Lebih Awal, Lebih Baik”. Program ini menyediakan pembiayaan rawatan kesuburan kepada pasangan yang layak dan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 47,000 pasangan di seluruh negara.
Sehingga kini, LPPKN telah mengendalikan lebih 373,000 kes subfertiliti dengan 6,513 kehamilan berjaya direalisasikan menerusi perkhidmatan kesuburan yang disediakan.
Selain itu, KPWKM turut memperkenalkan Pakej Seteguh KASIH Ibu (PSKI) yang menawarkan sokongan menyeluruh kepada para ibu melalui tiga komponen utama iaitu:
- Pakej Sayang Ibu – memberi fokus kepada kesihatan wanita termasuk saringan awal kanser reproduktif dan subsidi mamogram;
- Pakej Bonding KASIH Ibu – memperkukuh kesejahteraan emosi dan hubungan kekeluargaan;
- Pakej Minda Tenang – menyediakan sokongan kesejahteraan mental dan relaksasi untuk para ibu.
Inisiatif ini diperkenalkan susulan dapatan Tinjauan Pendapat Umum Hari Ibu 2025 yang menunjukkan 65.9 peratus ibu berdepan kekangan masa untuk diri sendiri khususnya dalam aspek rehat dan pemulihan emosi.
Pada majlis yang sama, KPWKM melalui LPPKN turut memperkenalkan Anugerah Khas Inspirasi Ibu bagi menghargai wanita yang berjuang mendapatkan zuriat dan menjadi sumber inspirasi kepada pasangan lain yang sedang menjalani rawatan subfertiliti.
KPWKM menyeru seluruh masyarakat untuk terus menghargai jasa serta pengorbanan ibu yang menjadi asas kekuatan keluarga dan negara.
Turut hadir YABhg. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dato’ Dr. Wan Ismail, Isteri YAB Perdana Menteri; YB Puan Lim Hui Ying, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; YBhg. Datuk Dr Maziah binti Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM; YBhg. Dato’ Sri Rohani binti Abdul Karim, Pengerusi LPPKN; YBhg. Dato' Abdul Shukur bin Abdullah, Ketua Pengarah LPPKN dan Pegawai-pegawai Kanan Jabatan dan Agensi Kementerian.