Setia Gardens Residences bernilai AS$81 juta jadi mercu tanda baharu SP Setia di Ho Chi Minh City

30/07/2025 - 17:21
Majlis pecah tanah Setia Gardens Residences di EcoXuan, Ho Chi Minh City pada Sabtu lalu Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 30 Julai – SP Setia Bhd (SP Setia) mengorak langkah strategik ke pasaran global dengan melancarkan projek perumahan terbaharunya, Setia Gardens Residences dekat EcoXuan, Ho Chi Minh City di Vietnam dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah AS$81 juta.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia, Datuk Choong Kai Wai berkata, pelancaran ini mencerminkan komitmen kumpulan dalam membina komuniti mampan dan gaya hidup berkualiti tinggi di peringkat global.
“Projek Garden Residences ini memperkukuh kehadiran strategik kami di pasaran Vietnam,” katanya selepas majlis pecah tanah yang berlangsung di Ho Chi Minh City pada Sabtu lalu.
Turut hadir Konsul Jeneral Malaysia di Ho Chi Minh City, Firdauz Othman; Pesuruhjaya Perdagangan Matrade, Zaimah Osman serta barisan kepimpinan tempatan dan rakan kongsi pembinaan dari Vietnam, Phuoc Thanh Construction Corporation.
Projek Setia Gardens Residences yang dijangka siap pada 2027 akan menawarkan sebanyak 865 unit kediaman dan rumah kedai merangkumi unit studio, satu hingga tiga bilik tidur.
Dibangunkan dalam tiga menara setinggi 27 hingga 28 tingkat, projek ini disasar menjadi mercu tanda baharu di koridor utara bandar Ho Chi Minh.
Terletak di Lebuhraya Binh Duong (National Highway 13), pembangunan ini menawarkan akses terus ke pusat perniagaan bandar raya Ho Chi Minh serta lokasi gaya hidup utama seperti AEON Mall, Lotte Mart, Padang Golf Song Be dan Hospital Antarabangsa Becamex dalam lingkungan 10 minit pemanduan.
Beliau berkata selaras dengan falsafah “Live, Learn, Work, Play” SP Setia, projek itu turut dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk dek landskap bertingkat, kolam renang, pusat kecergasan, spa, taman permainan kanak-kanak, ruang kerja bersama, bilik gaya hidup, ladang bandar serta sistem keselamatan berlapis.
“Setia Gardens Residences merupakan sebahagian daripada pembangunan bandar hijau EcoXuan seluas 27.1 ekar dengan keseluruhan nilai pembangunan mencecah AS$261 juta, dikelilingi rangkaian pengangkutan utama termasuk Laluan Metro 1 dan 2, Lebuhraya Lingkaran 3 dan 4 serta akses ke Lapangan Terbang Antarabangsa Long Thanh.
“Dengan kedudukan strategik dan visi bandar lestari, projek ini menawarkan potensi pelaburan jangka panjang yang menarik kepada pembeli dan pelabur asing di Vietnam,” katanya. - DagangNews.com
standard
