
KUALA LUMPUR – Ada insan yang pernah melalui setiap suka dan duka bersama, sehinggalah maut memisahkan mereka. Itulah kisah menyayat hati seorang pakcik OKU penglihatan yang kini meneruskan perjuangan mencari rezeki seorang diri di pasar malam selepas kehilangan isteri tercinta yang selama ini setia menemani serta menyanyi di sisinya.
Perkongsian mengenai nasib pakcik itu tular di media sosial selepas seorang pengguna Threads, @suncrow26, menceritakan bahawa pasangan tersebut sebelum ini sentiasa menghiburkan orang ramai bersama-sama. Namun, kunjungan beliau kali ini meninggalkan rasa pilu apabila hanya kelihatan si suami meneruskan nyanyian seorang diri.
Dari Berdua Kini Tinggal Seorang
Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh @suncrow26, pengguna itu memaklumkan dia sudah bertahun-tahun melihat pasangan berkenaan mencari rezeki di pasar malam.
Menurutnya, kedua-duanya merupakan OKU penglihatan dan sentiasa bersama setiap kali membuat persembahan.
Namun, pada kunjungan terbaharunya, dia dimaklumkan bahawa isteri pakcik tersebut telah meninggal dunia, menyebabkan lelaki itu kini meneruskan kehidupan dan mencari rezeki seorang diri.
“Hari ini pakcik sorang. Aku tengok dekat-dekat. Makcik dah arwah rupanya,” tulis @suncrow26 dalam perkongsiannya.
Lebih menyentuh hati, lagu yang dinyanyikan pakcik itu seolah-olah menggambarkan kerinduan terhadap insan yang telah pergi, membuatkan ramai netizen mengakui mereka turut mengalirkan air mata.
Hasrat Membantu Terhalang Isu Transaksi
Difahamkan, pakcik berkenaan masih meneruskan rutin mencari rezeki di Pasar Malam Air Biru, lokasi yang turut dikongsikan oleh @suncrow26 apabila ditanya orang ramai di ruangan komen.
Susulan perkongsian itu menjadi tular, ramai tampil mahu menghulurkan bantuan dengan membuat sumbangan melalui kod QR yang dipaparkan di lokasi pakcik tersebut membuat persembahan.
Bagaimanapun, beberapa netizen mendakwa transaksi mereka gagal dan memaparkan mesej seperti “Beneficiary account issue”, “Account not authorised” serta “Payment unsuccessful”.
Keadaan itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang ramai yang berharap ada individu atau pihak terdekat dapat membantu pakcik berkenaan menguruskan urusan perbankan sekiranya akaun tersebut memerlukan pengesahan.
Doa Rakyat Malaysia Mengiringi Perjuangannya
Di ruangan komen, ribuan warga maya turut menzahirkan rasa simpati serta mendoakan agar pakcik berkenaan diberikan kesihatan, kekuatan dan dipermudahkan segala urusan dalam meneruskan kehidupan selepas kehilangan teman yang setia menemaninya selama ini.
Ramai juga berharap orang ramai yang berkunjung ke Pasar Malam Air Biru dapat menghulurkan bantuan secara berhemah sekiranya berkesempatan, selain mendoakan agar segala urusan pakcik tersebut dipermudahkan. – The Malaysian Update
Sokong TMU
Jika anda menghargai usaha TMU dalam menyampaikan berita, maklumat dan isu semasa yang bermanfaat, anda boleh memberi sokongan secara sukarela.
Sokongan anda membantu kami terus menghasilkan laporan, artikel dan kandungan berkualiti untuk rakyat Malaysia.
The post Setia Menemani Hingga Akhir Hayat, Kini Pakcik OKU Penglihatan Menyanyi Seorang Diri Di Pasar Malam Buat Ramai Sebak appeared first on The Malaysian Update.


