Setiap hari kena tangkap penagih! 7 balai gagal KPI, dua ketua balai terima surat teguran – KP Kelantan

LocalPolitics
22 Sep 2026 • 1:07 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Tujuh daripada 56 balai polis di Kelantan gagal mencapai sasaran menangkap sekurang-kurangnya seorang penagih dadah sehari, menyebabkan dua ketua balai setakat ini menerima surat teguran kerana tidak mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) berkenaan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya tidak akan membiarkan mana-mana balai yang gagal membuat tangkapan dadah dalam tempoh seminggu tanpa tindakan susulan.

Menurut beliau, pasukan task force dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan akan diturunkan ke kawasan balai berkenaan sekiranya tiada tangkapan direkodkan dalam tempoh tersebut.

“Mana-mana balai yang tidak capai satu hari, satu kes, kita akan pantau. Kita akan pastikan daripada IPK akan turun di balai kawasan berkenaan.
“Kalau IPK dapat tangkap, ketua balai berkenaan akan kena tindakan. Maknanya tidak buat kerja kalau IPK boleh dapat tangkap,” katanya, hari ini.

Image from: Setiap hari kena tangkap penagih!  7 balai gagal KPI, dua ketua balai terima surat teguran – KP Kelantan

Mohd Yusoff memberitahu, setakat ini terdapat kira-kira tujuh balai di tiga daerah yang dikenal pasti tidak merekodkan sebarang tangkapan dalam tempoh seminggu.

“Alasan yang diberi susah nak cari, suspek sudah lari dan sebagainya. Alasan mereka macam itu.
“Setakat ini tidak apa. Mereka boleh beri alasan, tetapi task force daripada sini (IPK) akan turun di kawasan balai berkenaan. Kalau ada tangkapan, ketua balai berkenaan akan kena,” ujarnya.

Jelas beliau, keadaan itu bagaimanapun tidak boleh dijadikan alasan untuk sesebuah balai tidak mencapai sasaran yang ditetapkan.

Mengulas tindakan terhadap ketua balai yang gagal mencapai sasaran, Mohd Yusoff menjelaskan dua ketua balai setakat ini telah diberikan surat teguran sebagai langkah awal.

“Saya tidak zalim sangat. Saya bagi tegur dulu, saya hantar surat teguran dulu.
“Selepas itu barulah tindakan,” tegasnya.

Image from: Setiap hari kena tangkap penagih!  7 balai gagal KPI, dua ketua balai terima surat teguran – KP Kelantan

Dalam pada itu, beliau memaklumkan ketua balai berkenaan turut diberikan tempoh untuk memperbaiki semula pencapaian dan memenuhi KPI yang ditetapkan.

“Contohlah, katakan sehari seorang. Dalam masa seminggu mesti tujuh orang.
“Kalau hari ini kosong, dia kena pastikan esok dua. Dia hutang satu dengan saya. Hari ini kosong, esok kosong, lusa kosong, tidak bolehlah macam itu,” jelasnya.

Menurut Mohd Yusoff, pencapaian setiap balai akan terus dipantau menerusi statistik yang dibentangkan dalam mesyuarat mingguan.

Tambahnya, terdapat juga balai yang berjaya merekodkan tangkapan melebihi KPI ditetapkan.

“Kita sekarang ini buat pemantauan secara mingguan. Bulan depan, selepas tempoh rintis tiga bulan, kita akan buat post-mortem.
“Kita akan panggil semua ketua balai dan kenal pasti siapa yang tidak dapat capai sasaran serta punca dan sebabnya,” katanya.

Sumber: Sinar Harian (Hazelen Liana Kamarudin)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved