'Setiap individu perlu sedia pikul tanggungjawab' - KP SPRM

LocalPolitics
18 Jun 2026 • 3:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Setiap individu perlu sedia pikul tanggungjawab' - KP SPRM
Abd Halim (kiri) beramah mesra bersama petugas media selepas sesi sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Khamis. Foto: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

PUTRAJAYA – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman, menyifatkan pelantikannya menerajui suruhanjaya itu sebagai satu cabaran baharu memandangkan latar belakang tugas yang dikendalikannya sebelum ini berbeza daripada skop tanggungjawab semasa.

Menurutnya, setiap individu yang diberikan amanah perlu bersedia memikul tanggungjawab dan tidak boleh mengelak daripada cabaran yang dihadapi.

“Seperti yang anda tahu, latar belakang saya sebelum ini adalah berbeza daripada skop yang saya kendalikan sekarang.

“Bagi saya, ini merupakan suatu cabaran dan walau apa jua peringkat sekali pun, kita perlu memikul cabaran tersebut. Kita tidak boleh lari daripada cabaran itu,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai cabaran menyesuaikan diri dengan tanggungjawab baharu selepas dilantik mengetuai SPRM pada 13 Mei lalu.

Pada 25 April lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, memperkenankan pelantikan Abd Halim yang juga bekas Hakim Mahkamah Tinggi sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.

Beliau menggantikan Tan Sri Azam Baki yang menamatkan perkhidmatan selepas 42 tahun berkhidmat di SPRM.