Faktor logistik, kesiapsiagaan sebab utama PRN Johor, Negeri Sembilan tidak serentak - SPR

LocalPolitics
12 Jun 2026 • 1:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Faktor logistik, kesiapsiagaan sebab utama PRN Johor, Negeri Sembilan tidak serentak - SPR
Ramlan melihat peta bagi Pilihanraya Umum Negeri Johor pada sidang media Pilihanraya Umum Dewan Negeri Johor Ke-16 dan Dewan Negeri, Negeri Sembilan Ke-16 yang diadakan di Menara SPR di Putrajaya. Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

PUTRAJAYA - Faktor logistik, latihan petugas dan tahap kesiapsiagaan adalah antara sebab utama Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan tidak diadakan serentak.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, jentera di Negeri Sembilan memerlukan tempoh persediaan lebih panjang susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) secara mengejut.

"Di Negeri Sembilan, pembubaran secara mengejut (snap election), keadaan tidak bersedia. Kami memerlukan masa untuk mereka betul-betul fokus.

"Kita selesaikan (PRN) Johor terlebih dahulu, kemudian kita bawa semua pasukan (dari Johor) untuk membantu Negeri Sembilan.

"Kalau buat (PRN) serentak, persiapan memang tidak sempat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan urusan serta tarikh-tarikh penting PRN Johor dan Negeri Sembilan di sini pada Jumaat.

DUN Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi dibubarkan secara rasmi oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun pada 5 Jun setelah mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Mengenai dakwaan ketidaksahihan pembubaran DUN Negeri Sembilan, Ramlan menegaskan, perkara berkenaan berada di luar bidang kuasa SPR.

Ramlan memaklumkan, SPR telah mendapatkan pandangan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung isu pembubaran itu dan setakat ini tiada sebarang isu berbangkit.

Terdahulu, SPR menetapkan hari pengundian bagi PRN Johor pada 11 Julai, manakala PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos depan.

Bagi PRN Negeri Sembilan pula, tarikh penamaan calon adalah pada 18 Julai, manakala pengundian awal ditetapkan pada 28 Julai.- Bernama