
PETALING JAYA: PKR tidak boleh terus bergantung kepada nostalgia perjuangan dan kejayaan lampau sebaliknya perlu melakukan muhasabah bagi menghadapi cabaran politik semasa.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh berkata, sepanjang lebih dua dekad perjuangan parti itu, PKR telah melalui pelbagai ujian termasuk keputusan pilihan raya yang tidak memihak kepada parti, tekanan politik, fitnah serta perpecahan dalam kalangan rakan gabungan.
Beliau berkata, semua cabaran tersebut bagaimanapun tidak pernah mematahkan semangat perjuangan PKR sehingga akhirnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri.
“Mengimbau jatuh bangun parti, Keadilan mengajar kita bahawa perjuangan ini tidak pernah memilih jalan yang mudah. Namun, kita juga tidak boleh terus terperangkap dengan nostalgia dan kejayaan lampau.
“Setiap ujian mematangkan kita, setiap kekalahan membuka ruang untuk bermuhasabah dan setiap cabaran mengingatkan kita bahawa perjuangan membina sebuah Malaysia yang lebih baik masih belum selesai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian sempena memperingati detik bersejarah pada 3 Ogos 2003, apabila Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia bergabung membentuk Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Tambah Fuziah, setahun selepas PKR ditubuhkan, parti menerima tamparan yang cukup besar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 dengan hanya memenangi satu kerusi Parlimen sahaja.
“Ramai yang merasakan perjuangan ini tidak akan mampu bertahan lama, tetapi kami memilih untuk terus ke depan dan belajar daripada setiap kelemahan hinggalah kami berjaya mencipta sejarah menggagalkan dua pertiga kerusi Parlimen PRU 2008,” katanya. – UTUSAN
The post Setiap kekalahan buka ruang untuk muhasabah – Fuziah appeared first on Utusan Malaysia.





