
PETALING JAYA: Proses pemulihan Lembaga Tabung Haji (TH) pada 2018 merupakan langkah penting dalam mengembalikan integriti institusi itu.
Setiausaha PKR, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, namun pemulihan sahaja tidak mencukupi, sebaliknya apa yang berlaku mesti dijadikan iktibar agar kesilapan yang sama tidak berulang lagi.
“Sebab itu, saya menyambut baik pendirian Perdana Menteri bahawa mana-mana pihak yang menyebabkan kerugian atau melanggar undang-undang hendaklah disiasat. Sekiranya, terdapat bukti yang mencukupi, biarlah lunas undang-undang menjalankan tanggungjawabnya.
“Tabung Haji dibina atas kepercayaan umat Islam, amanah sebesar ini hanya dapat dipelihara melalui tadbir urus yang baik, ketelusan dan akauntabiliti,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu menjadi satu pengajaran kepada semua pihak.
“Ketika saya diberi amanah sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada 2018 hingga 2020, antara keutamaan kami ialah memastikan proses pemulihan Tabung Haji dapat dilaksanakan bagi melindungi simpanan pendeposit dan memulihkan keyakinan rakyat.
“Laporan tersebut menjelaskan bahawa masalah yang dihadapi Tabung Haji berpunca daripada kelemahan tadbir urus, keputusan pelaburan yang tidak berhemat, pengurusan kewangan yang lemah serta kegagalan mematuhi peruntukan undang-undang, sehingga mewujudkan defisit antara aset dan liabiliti sejak tahun 2014,’ katanya.
Beliau turut berharap agar segala syor RCI dilaksanakan untuk memastikan institusi yang menjadi kebanggaan umat Islam terus kekal kukuh untuk generasi akan datang. – UTUSAN
The post RCI Tabung Haji wajar jadi pengajaran semua pihak appeared first on Utusan Malaysia.






