SFC Keluar Amaran Berjaga-Jaga Dengan Ancaman Buaya Ketika Banjir Di Sarawak

1 Feb 2025 • 8:51 AM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Pasukan penyelamat berdepan ancaman buaya ketika operasi menyelamat

SFC Keluar Amaran Berjaga-Jaga Dengan Ancaman Buaya Ketika Banjir Di Sarawak. Dilaporkan, baru-baru ini, kita dikejutkan dengan berita menyayat hati apabila beberapa daerah di Sarawak dilanda banjir besar. Hujan lebat yang berterusan menyebabkan paras air sungai melimpah, mengakibatkan rumah-rumah tenggelam, jalan utama terputus, dan ramai penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS). Keadaan ini bukan sahaja menyukarkan kehidupan harian penduduk, malah turut menimbulkan pelbagai risiko keselamatan.

SFC sebelum ini telah mengeluarkan poster amaran kehadiran ‘tetamu tak diundang’ iaitu buaya. Perkara ini sekaligus menambahkan lagi cabaran kepada pasukan penyelamat dan penduduk yang terjejas.

image is not available
SFC Keluar Amaran Berjaga-Jaga Dengan Ancaman Buaya Ketika Banjir Di Sarawak. Sumber gambar: FB Sarawak Forestry Corporation

Menurut Hadi Ibrahim, seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang berasal dari Kampung Sejijak, berkata buaya biasanya bersantai di tepi sungai, tetapi keadaan jadi seram apabila hujan turun tanpa henti dan air sungai melimpah.

Katanya, kalau hari biasa, buaya hanya malas-malas berjemur. Tapi bila banjir, air naik dan mereka bebas berkeliaran, itu yang membuatkan keadaan jadi ngeri.

Hadi yang sudah lama bertugas dalam operasi menyelamat mengakui bahawa ancaman utama semasa banjir bukan hanya arus deras tetapi juga haiwan liar seperti buaya dan binatang berbisa. “Kesilapan kecil boleh mengundang bahaya. Kami bukan saja bertarung dengan arus, tapi juga dengan pemangsa yang mengintai dalam diam,” tambahnya.

image is not available
Sumber gambar: FB Sarawak Forestry Corporation

Penduduk juga perlu lebih peka

Bukan setakat penyelamat yang perlu berjaga-jaga, penduduk juga perlu lebih peka. Setiausaha Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Sejijak, Nordini Madiak, menegaskan bahawa beliau tidak berkompromi soal keselamatan, terutama bila melibatkan kanak-kanak yang suka bermain air banjir.

“Biarlah dikata garang, kalau saya nampak ada budak bermain air, memang saya akan pukul dan suruh mereka balik rumah. Biar mereka yang menangis, bukan kita yang menangis kehilangan mereka,” katanya tegas.

Menurut Nordini, banjir bukan perkara baru di kampung mereka, tetapi setiap tahun penduduk tetap membuat persiapan awal. “Beberapa hari sebelum banjir, saya sudah suruh penduduk bersiap dengan mengemas barang penting. Bila banjir melanda, kami tidak kelam-kabut dan terus berpindah ke PPS,” katanya.

Berdasarkan situasi ini, kita dapat lihat bahawa banjir di Sarawak bukan sekadar masalah air naik dan berpindah ke PPS. Ia juga membawa ancaman yang lebih besar seperti haiwan liar dan risiko keselamatan penduduk.

Lagi terkini mengenai banjir Sarawak untuk anda di sini: