
Kota Kinabalu: Seorang lagi bekas Ketua Menteri Sabah beragama Islam menyatakan sokongan terhadap penganjuran konsert Kristian, mengatakan kebimbangan sesetengah pihak terhadap kumpulan berkenaan yang diterajui penyanyi bernama “Israel” atau pendirian politik peribadinya tidak seharusnya menjadi alasan untuk membatalkannya.
Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menggesa pihak berkuasa membenarkan cadangan konsert artis Kristian Amerika Syarikat, Israel Houghton di Sabah diteruskan, tertakluk kepada kelulusan dan peraturan yang ditetapkan.
“Sabah selama ini mendapat kekuatan daripada rakyatnya yang hidup bersama merentasi kaum dan agama. Ini bukan sekadar slogan. Begitulah cara masyarakat kita di bandar, sekolah, pasar dan keluarga hidup sejak beberapa generasi,” kata Shafie dalam satu kenyataan.
Shafie berkata hasil karya Houghton dan kumpulannya diikuti penganut Kristian di seluruh dunia, termasuk ramai di Sabah.
“Menyokong kebebasan penganut Kristian di Sabah untuk menghadiri perhimpunan ini tidak bermakna menyokong setiap pandangan peribadi atau politik yang dipegang oleh artis yang berkunjung,” katanya.
Beliau berkata pihak berkuasa mesti melaksanakan peraturan secara adil. “Jika terdapat halangan undang-undang khusus, ia perlu dinyatakan dengan jelas,” katanya, menambah sebarang kebimbangan keselamatan sebenar perlu ditangani polis dengan mengambil langkah sewajarnya bagi mengekalkan keamanan dan melindungi mereka yang hadir.


