
Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri Senallang Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Sabah boleh meletakkan dirinya sebagai tarikan antarabangsa untuk produk emas dan bukan sekadar membenarkan syarikat swasta melombong dan meraih keuntungan daripada sumber terbabit.
Beliau menarik perhatian kepada satu projek pembangunan emas berskala besar yang dicadangkan di Nagos, Semporna meliputi hampir seribu hektar, yang dicadangkan ketika pentadbirannya dan beliau menegaskan bahawa sumber seperti itu perlu kekal di bawah kawalan Kerajaan Negeri.
“Semasa saya dalam kerajaan, saya tekankan bahawa ia mesti dimiliki oleh Kerajaan Negeri. Apabila kita ada bahan mentah seperti emas, jangan beri kepada sektor swasta. Beri kepada kerajaan.”
Beliau memberi contoh Dubai sebagai pengurusan sumber yang berjaya.
“Dubai tidak mempunyai simpanan emastetapi Dubai kini antara pasaran emas terbesar di dunia.”
Bekas Ketua Menteri itu berkata Sabah juga perlu mengutamakan pembangunan kemahiran modal insan dan transformasi digital untuk seiring dengan negeri-negeri jiran serta memenuhi permintaan pasaran.
“Sabah bercakap tentang kecerdasan buatan dan rangkaian tetapi Kerajaan Negeri kita masih bergantung kepada fail fizikal dalam operasi mereka,” kata Shafie.
“Kalau kita pergi ke sempadan Sarawak, mereka sudah guna komputer manakala di Sabah, kita masih guna sistem manual,” katanya.
“Bagaimana kita nak bercakap tentang kemajuan Sabah dalam keadaan begini?” katanya.
Beliau juga menyentuh tentang hak adat pribumi dan geran hak milik tanah, sambil mengakui bahawa isu tanah, terutamanya berkaitan hak milik adat, bukanlah masalah baharu.
“Selepas bertahun-tahun, masih ramai yang tidak mempunyai geran yang sah,” katanya sambil merujuk kepada lawatannya ke Banggi di Kudat di mana penduduk telah menduduki tanah selama 50 hingga 60 tahun tanpa dokumentasi tanah yang sewajarnya.
“Semasa saya dalam kerajaan, kami keluarkan 480 geran tanah di Tambunan dan 2,800 di Keningau. Ini adalah hak yang mesti diberikan kepada rakyat di peringkat akar umbi.
“Ia bukan sekadar beri tanah, kita mesti pastikan rakyat ada keupayaan untuk mengusahakannya,” katanya sambil merujuk kepada inisiatif yang dimulakannya bagi tanaman nanas di Moyog dan projek tanaman halia.
Dalam pada itu, beliau berkata pemprosesan hiliran juga penting untuk Sabah bagi menambah nilai kepada produk pertanian.
“Kita mesti kumpul semua bahan mentah yang ada dan memprosesnya semula di peringkat hiliran, mewujudkan pekerjaan dan perniagaan dalam bidang pembungkusan dan pemprosesan,” katanya sambil mencadangkan inisiatif seperti ini boleh membantu membasmi kemiskinan dalam kalangan masyarakat yang kurang berpendidikan.
