Shafie nafi Adun Warisan ingin tinggalkan parti

Politics
14 Dec 2022 • 1:41 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada Selasa menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya ada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mahu meninggalkan parti itu.

“Warisan kekal utuh. Khabar angin dan cakap-cakap mengenai kononnya ada Adun Warisan yang mahu keluar parti ditimbulkan semula sebagai percubaan berniat jahat pihak tertentu untuk melemahkan dan menjatuhkan Warisan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut Shafie, Warisan telah mengadakan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) pagi Selasa yang turut dihadiri wakil rakyat parti itu.

“Semua Adun Warisan mengulangi kesetiaan tidak berbelah bahagi mereka kepada parti,” katanya sambil menambah AMT dan wakil rakyat parti itu juga sebulat suara menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Difahamkan, Adun Kunak dan Karamunting turut menyatakan kesetiaan kepada parti namun tidak dapat hadir pada mesyuarat itu atas sebab peribadi.

Ketika ini, Warisan mempunyai 19 Adun di Sabah dan satu di Selangor serta tiga Ahli Parlimen.

Dalam kenyataan berasingan, Adun Darau Azhar Matussin yang juga AMT Warisan menyangkal dakwaan kononnya beliau bersama enam lagi wakil rakyat akan meninggalkan parti itu.

“Ini hanya sekadar mainan politik sekali gus sengaja menimbulkan isu untuk mengelirukan rakyat khususnya di peringkat akar umbi, semua Adun Warisan berada di belakang Presiden,” katanya.

Menurut Azhar, beliau juga menafikan tidak pernah menandatangai apa-apa dokumen Surat Akuan Bersumpah (SD) untuk bertukar parti.

“Saya akan terus menghormati mandat serta kepercayaan yang telah diberikan kepadanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN16) lalu. Kita akan terus memperjuangkan menuntut hak rakyat Sabah yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.