Shaik Abdul Rasheed dilantik sebagai Gabenor BNM ganti Nor Shamsiah berkuat kuasa 1 Julai 2023
zulfadli
12/06/2023 - 10:44
KUALA LUMPUR 12 Jun - Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenan pelantikan Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour sebagai Gabenor untuk tempoh lima tahun berkuat kuasa 1 Julai 2023 hingga 30 Jun 2028.
Beliau akan mengambil alih jawatan Gabenor BNM daripada Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, yang akan menyempurnakan tempoh lima tahunnya pada 30 Jun 2023.
Nor Shamsiah berkata, menerajui BNM selama lima tahun merupakan suatu penghormatan kepada beliau.
"Saya berterima kasih kerana diberi peluang untuk memimpin bank dan berkhidmat untuk negara, terutamanya semasa keadaan tidak menentu dan sangat penting kepada negara.
"Saya percaya Shaik Abdul Rasheed merupakan pilihan yang tepat untuk menerajui bank sebagai Gabenor, setelah bertahun-tahun bekerjasama rapat dengan beliau.
"Saya yakin dengan keupayaan beliau untuk memimpin BNM bagi terus memenuhi mandat bank iaitu menggalakkan kestabilan monetari dan kestabilan kewangan yang kondusif bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan," katanya dalam kenyataan.
BNM berkata, Lembaga Pengarah merakamkan penghargaan kepada Nor Shamsiah atas sumbangan dan perkhidmatan beliau kepada bank dan juga negara.

Katanya, beliau telah menunjukkan kepimpinan terbaik dan komitmen yang luar biasa dalam melaksanakan tanggungjawab beliau sebagai Gabenor dan Pengerusi Lembaga Pengarah.
"Berdasarkan pengalaman yang luas dan prestasi Shaik Abdul Rasheed yang cemerlang semasa berkhidmat di bank, Lembaga Pengarah yakin bahawa beliau akan memimpin bank untuk mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan dan meneruskan tradisi kecemerlangan bank demi kepentingan negara," katanya.
Sementara itu, Shaik Abdul Rasheed pula berkata, pelantikan sebagai Gabenor merupakan suatu penghormatan kepada beliau.
"Saya akan meneruskan dan meningkatkan lagi usaha Nor Shamsiah. Di bawah kepimpinan beliau, bank terus memenuhi mandatnya untuk menggalakkan kestabilan monetari dan juga kewangan meskipun melalui banyak tempoh yang mencabar termasuk krisis pandemik.
"Beliau juga telah memulakan pelbagai inisiatif pemodenan organisasi untuk membentuk semula dan meletakkan bank pada kedudukan yang lebih baik untuk memanfaatkan peluang dan menangani cabaran pada masa hadapan," katanya.
Tambahnya, beliau akan berusaha dan memberikan yang terbaik dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Gabenor.
Shaik Abdul Rasheed mula berkhidmat di bank pada 1988 dan dilantik sebagai Timbalan Gabenor pada 2016. Beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Malaya.
Beliau juga mempunyai Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) daripada Saïd Business School, Oxford University. Sepanjang kerjayanya, Shaik Abdul Rasheed pernah memegang pelbagai jawatan pengurusan kanan.
Beliau kini merupakan Ahli Jawatankuasa Dasar Monetari dan Jawatankuasa Kestabilan Kewangan sejak 2015.
Beliau juga telah memainkan peranan penting dalam pembangunan dan pelaksanaan Pelan Induk Sektor Kewangan (2000-2010) dan Pelan Sektor Kewangan (2011-2020 dan 2022-2026). - DagangNews.com

![[VIDEO] Lulusan Oxford, Shaik Abdul Rasheed azam beri yang terbaik sebagai Gabenor BNM baharu](https://cdn.newswav.com/img/web-revamp/broken-placeholder.png)